Karnival UDA 2024@Lembah Klang beri manfaat kepada pengunjung

UDA menerusi Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang menganjurkan pelbagai pengisian program menarik yang memberikan manfaat kepada pengunjung. Foto hiasan
UDA menerusi Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang menganjurkan pelbagai pengisian program menarik yang memberikan manfaat kepada pengunjung. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) menerusi Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang menganjurkan pelbagai pengisian program menarik yang memberikan manfaat kepada pengunjung.

Karnival selama tiga hari itu akan diadakan di Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras bermula 27 hingga 29 September.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, Karnival UDA 2024 yang masuk tahun ketiga penganjurannya menampilkan kelainan dan konsep baharu iaitu tujuh zon untuk seisi keluarga merangkumi Pavilion UDA, Ruang Rasa, Aura Wanita, Maskulin, Fiesta Bakat, Pa&Ma dan Jualan Pelbagai.

Mohd Salem
Mohd Salem

Menurutnya, sempena Karnival UDA 2024 @ Lembah Klang juga, UDA membawakan tarikan baharu dengan berkolaborasi bersama-sama rakan-rakan strategik antaranya Majlis Sukan Negara (MSN), Ideaktiv, DC Healthcare Holdings Berhad, Angkatan Tentera Malaysia.

“Kami juga bekerjasama dengan CelcomDigi, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Universiti Selangor (Unisel), GiatMARA, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel Textile) dan Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd bagi menyalurkan maklumat bermanfaat kepada usahawan serta pengunjung.

“Turut diadakan sepanjang karnival berlangsung antaranya pelbagai gerai jualan usahawan, reruai pameran agensi kerajaan dan rakan strategik, aktiviti sukan, konsert dan Jualan Madani oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” katanya kepada Sinar Harian.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Mohd Salem berkata, turut diadakan sempena karnival itu ialah Sembang Santai UDA 2024 @ SSU akan membawakan topik menarik bertajuk ‘Rumah Impian, Syurga Idaman’ bersama penceramah terkenal, Amin Idris (Bro Amin) selaku panel jemputan jam 10.30 pagi pada Sabtu.

“Program ini juga akan bersiaran secara langsung dari tapak karnival terus menerusi platform dalam talian Sinar Harian,” katanya.

Beliau berkata, program sembang santai itu akan mengupas mengenai pengetahuan dan ilmiah berkaitan hartanah.

“Melalui program ini, kita akan cuba menjawab pelbagai persoalan mengenai konsep kediaman sempurna yang diidamkan oleh setiap individu.

“Selain menerima maklumat mengenai tawaran istimewa pembelian kediaman UDA, pengunjung juga berpeluang berinteraksi secara langsung dengan Bro Amin untuk mendapatkan panduan mengenai penyediaan kediaman sempurna dari perspektif yang selaras dengan tuntutan agama,” katanya.

Perkasa usahawan

Poster Sembang Santai UDA 2024.
Poster Sembang Santai UDA 2024.

Menurut Mohd Salem, karnival itu dianjurkan untuk mencapai dua matlamat utama iaitu memperkasa usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan membantu komuniti setempat mendapatkan produk hartanah UDA.

“Objektif penganjuran karnival ini ialah mempromosi kemudahan serta insentif usahawan yang disediakan oleh pihak UDA untuk membantu perkembangan perniagaan usahawan di negara ini.

"Ia juga mendekati komuniti setempat serta membantu para pembeli memilih hartanah selaras dengan objektif pemilikan hartanah di kawasan bandar.

“Karnival ini juga bertujuan memperkenalkan Aspirasi UDA dalam melahirkan usahawan mampan. Ia juga memberi ruang kepada usahawan UDA dan rakan kaloborasi untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada umum dan komuniti dengan lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata, seramai 15 usahawan daripada rakan strategik, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

“Kami berharap karnival ini akan memberikan manfaat kepada usahawan kerana terdapat reruai rangkaian perniagaan UDA, pendaftaran vendor UDA, MARI Mart & Kirana, Pameran Hartanah UDA dan Reruai agensi KUSKOP,” katanya.

Sasar RM112.5 juta

Mohd Salem berkata, UDA menyasarkan penjualan hartanah dengan memfokuskan kepada rangkaian produk hartanah terbaharu untuk semua generasi dari utara ke selatan Semenanjung dan di Sarawak.

“Beberapa projek terbaharu bakal dilancarkan pada suku kedua tahun ini bagi mengalakkan lagi usaha pemilikan hartanah.

"Di Lembah Klang khususnya, produk hartanah yang diketengahkan Dedaun Residensi, Cheras, Residensi 38 Bangsar di Bangsar dan Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur.

“UDA menyasarkan jumlah jualan sebanyak RM112.5 juta merangkumi jualan hartanah bernilai RM110 juta serta nilai jualan usahawan berjumlah RM2.5 juta,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun ini, sasaran penjualan hartanah UDA akan digiatkan melalui kempen jualan hartanah baharu iaitu ’Jimat Super Deals’.

“Kempen ini dikhususkan kepada pembeli produk hartanah UDA bertujuan membantu memudahkan pembeli memiliki hartanah UDA dengan menawarkan pelbagai promosi serta pakej istimewa,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Salem berkata, UDA menyasarkan 160 usahawan yang terdiri daripada golongan usahawan di bawah agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), usahawan UDA, Asnaf, B40, OKU dan usahawan awam.

Beliau berkata, sepanjang karnival berlangsung turut diadakan pelbagai aktiviti antaranya Fun Run 2024, Fiesta Bakat oleh Majlis Sukan Negara, persembahan artis tempatan, Jom Mewarna Bintang Kecil Bersama Didi & Friends dan Sukan Rakyat Kanak-Kanak Tadika.

“Turut diadakan program bagi menyantuni lapisan masyarakat dan penduduk dengan penganjuran Acara Rewang dan Sukan Rakyat bersama wakil penduduk bagi menjalinkan silaturahim dan menyantuni penduduk di BTHO.

“Kami menerima sambutan yang menggalakkan pada tahun ini dan diharapkan agar karnival seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!