Sukarelawan Khidmat Malaysia bantu cuci rumah mangsa banjir

Ahmad (dua dari kanan) memeriksa sumbangan barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
Ahmad (dua dari kanan) memeriksa sumbangan barangan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
A
A
A

ALOR SETAR - Sukarelawan Khidmat Malaysia meneruskan khidmat mencuci rumah mangsa banjir selepas kebanyakan kawasan banjir mulai surut.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, agensi kebajikan yang digerakkan bawah Pas Pusat itu sebelum ini turut membantu operasi menyelamatkan serta memindahkan mangsa banjir ke pusat penempatan sementara (PPS).

Menurutnya, program gotong-royong perdana Pas Kedah itu turut dibantu Jabatan Amal serta sukarelawan dari luar Kedah yang prihatin dengan musibah banjir kedua terburuk selepas tahun 2010.

Sukarelawan Khidmat Malaysia mencuci rumah mangsa banjir selepas air surut.
Sukarelawan Khidmat Malaysia mencuci rumah mangsa banjir selepas air surut.

“Operasi mencuci rumah mangsa banjir disertai hampir 500 sukarelawan dan setakat Rabu lebih 300 buah premis dicuci antaranya sekolah, tadika, pejabat penghulu dan rumah persendirian.

“Permintaan paling banyak melibatkan kawasan sekitar Kuala Kedah, sementara kawasan rumah terjejas paling banyak dicuci adalah sekitar Pokok Sena,” katanya di sini pada Khamis.

Ahmad berkata, khidmat mencuci rumah dan mengangkut barang untuk dipindahkan antara yang mendapat permintaan tinggi sepanjang banjir melanda.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan mangsa banjir mahu khidmat angkat barang ketika berpindah kerana perlukan kenderaan pacuan empat roda selain khidmat cuci rumah.

“Mangsa banjir boleh dapatkan khidmat kami menerusi bilik-bilik operasi yang dibuka di daerah terjejas, selain pusat khidmat wakil rakyat atau hubungi ketua kampung kawasan masing-masing,” ujarnya.

Lebih 300 premis termasuk rumah mangsa banjir dicuci setakat Rabu.
Lebih 300 premis termasuk rumah mangsa banjir dicuci setakat Rabu.

Menurutnya, operasi bantuan bencana tersebut merangkumi tiga tahap bermula dari membantu operasi menyelamat mangsa banjir, melaksanakan operasi memindahkan mangsa ke PPS serta fasa pemulihan seperti agihan sumbangan dan mencuci rumah.

“Kami mengalu-alukan penyertaan sukarelawan seluruh negara yang ingin membantu dalam fasa pemulihan.

“Pusat operasi Khidmat Malaysia dibuka di Pokok Sena dan diselaraskan untuk ke kawasan terjejas termasuk ke Perlis dan Pulau Pinang.

“Sumbangan dalam bentuk kewangan atau barangan keperluan juga dialu-alukan terutama selepas mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing. Sumbangan seperti selimut, tikar, dapur serta barangan keperluan asas turut diagihkan kepada mangsa terjejas,” katanya.

Ahmad berkata, Khidmat Malaysia tidak berkhidmat secara berasingan sebaliknya bekerjasama dengan semua NGO dan agensi kerajaan di peringkat negeri mahupun daerah.

Ahmad (tiga dari kiri) meninjau Dapur Rakyat yang menyediakan makanan dimasak petugas sebelum diagihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan.
Ahmad (tiga dari kiri) meninjau Dapur Rakyat yang menyediakan makanan dimasak petugas sebelum diagihkan kepada mangsa banjir yang memerlukan.

“Contohnya di zon merah, kita tak boleh masuk, hanya anggota bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) jadi kami bekerjasama dan tawarkan bantuan lain,” katanya.

Menurutnya, Pas Kedah turut menyediakan inisiatif Dapur Rakyat kepada mangsa banjir dan petugas sukarelawan sejak Khamis lalu.

“Dapur Rakyat dibuka di daerah terjejas banjir, dengan mengagihkan pek makanan kepada mangsa banjir. Pusat operasi dibuka di Pokok Sena, Anak Bukit dan Pendang.

“Di peringkat kawasan dan pusat khidmat wakil rakyat juga ada yang mengambil inisiatif memasak makanan dan dihantar ke rumah terjejas banjir,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!