Anwar sedia isytihar harta pada bila-bila masa

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Taman Alam Sutera, Bukit Jalil pada Khamis. Foto Bernama
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) di Taman Alam Sutera, Bukit Jalil pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau sedia untuk mengisytiharkan harta pada bila-bila masa.

"Saya, kalau ada (pihak) minta esok (isytihar) harta, esok juga saya buat, koreklah banyak mana pun... baru boleh jadi pemimpin, jadi contoh. Jika tidak, apa yang kita nak ajar kepada rakyat kerana antara cara untuk angkat darjat Islam itu ialah dengan tatakelola yang baik.

"Ini (ada pihak) apabila suruh isytihar harta marah, (cakap kerana) dendam, apa dendam? Kalau kamu tak salah, buat apa takut isytihar harta?” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Taman Alam Sutera di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengisytiharan harta, yang merupakan antara syarat terkandung dalam Memorandum Persefahaman berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, hanya perlu dilakukan apabila melibatkan anggota pentadbiran seperti diamalkan oleh kerajaan terdahulu.

Anwar juga berkata, kerajaan pimpinannya sedang berperang dengan rasuah dan penyelewengan.

"Ada pihak bicara soal Melayu, agama dan Islam tapi sebenarnya rompak hasil dan kekayaan negara. Saya tidak mahu hal ini berlaku, saya tidak maksud dah berlaku di sini.

"Dalam keadaan kita semak hampir setiap kontrak, ada sahaja bocornya, ada sahaja hilang dananya. Negara mana mampu maju kalau tiap kali ada tiris dan ia bukan sedikit, ratusan juta dan bilion,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!