Lelaki ditemui maut tersangkut celah pokok dokong

Mangsa ditemukan meninggal dunia di atas pokok dokong di sebuah kebun dalam kejadian di Kampung Jerek pada Khamis. Foto hiasan
Mangsa ditemukan meninggal dunia di atas pokok dokong di sebuah kebun dalam kejadian di Kampung Jerek pada Khamis. Foto hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang lelaki yang tidak pulang ke rumah sejak semalam ditemui meninggal dunia kira-kira tiga meter di atas pokok dokong di sebuah kebun dalam kejadian di Kampung Jerek pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa Mohamad Mat Noor, 51, dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung ditemukan oleh abangnya kira-kira jam 8.30 pagi dalam keadaan tersangkut di celah pokok berkenaan.

Menurut beliau, abang mangsa, Abd Rani, 59, yang bimbang dengan keselamatan adiknya keluar mencarinya selepas semalaman tidak pulang ke rumah.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang masih bujang keluar dari rumah kira-kira jam 3 petang Rabu untuk memetik buah dokong di kebunnya.

"Bagaimanapun sehingga jam 8 malam, mangsa masih belum pulang dan abangnya membuat keputusan mencarinya di kebun yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya sebelum menemui mangsa tersangkut di atas pokok itu," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, Abd Rani menghubungi Balai Bomba Gua Musang untuk meminta bantuan menurunkan adiknya dari atas pokok berkenaan.

"Pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Jerek kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jerek.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!