JPN nafi hantaran tular salur bantuan wang tunai RM700
KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan hantaran tular di media sosial mengenai pemberian bantuan wang tunai sebanyak RM700 yang dibuat oleh jabatan itu.
JPN dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, hantaran dibuat oleh pemilik akaun di platform TikTok itu adalah palsu.
"Sebarang maklumat berhubung bantuan kewangan oleh kerajaan, ia boleh disemak di portal rasmi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) (bantuantunai.hasil.gov.my),” kata kenyataan itu.
JPN juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan hantaran sebegitu serta jangan sesekali menekan pautan yang tidak pasti.
"Untuk sebarang pertanyaan berkaitan JPN, orang ramai boleh menghubungi talian 03-8880 7077 atau e-mel ke pro@jpn.gov.my,” tambah kenyataan itu.
Terdahulu, tular satu video di aplikasi TikTok daripada akaun @malaysia.madani.2024 yang memaparkan maklumat palsu mengenai ‘Bantuan MyKad RM700 Fasa 3 September 2024’.
Video berkenaan mendapat lebih 362,800 tontonan dan 6,175 tanda suka.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!