Majoriti ahli wilayah utara tiada baki simpanan asas mencukupi - KWSP

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GEORGE TOWN - Majoriti ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Wilayah Utara meliputi Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak didapati tidak mempunyai baki simpanan asas yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya RM240,000 pada umur 55 tahun.

Pengarah KWSP Wilayah Utara, Jeffary Mohamed Isa berkata, mengambil contoh di Pulau Pinang, daripada 746,000 ahli berusia 55 tahun atau ke bawah hanya 27 peratus iaitu 199,000 ahli sahaja yang mencapai baki simpanan asas, manakala 547,000 (73 peratus) lagi masih belum mencapai simpanan asas.

"Kecukupan kewangan ini penting apabila mereka bersara nanti, jika tidak cukup kewangan, maka mereka akan menghadapi kesukaran bukan saja untuk menanggung kehidupan seharian tetapi juga keluarga.

"Apa yang ditetapkan KWSP sekarang adalah berdasarkan kepada simpanan asas iaitu RM240,000 namun ia bergantung kepada cara kehidupan individu terbabit, tambahan dalam umur 60 sehingga 80 tahun dengan keadaan kesihatan dan kehidupan ketika itu, kita perlu mempunyai simpanan lebih (daripada RM240,000),” katanya kepada pemberita pada sesi ramah mesra bersama media Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Sesi yang julung kali diadakan di Pulau Pinang itu bertujuan bagi mengeratkan hubungan antara pihak media dengan KWSP, sekali gus membantu dalam menyampaikan maklumat berkaitan program dan inisiatif agensi itu kepada masyarakat.

Simpanan asas ialah satu jumlah simpanan dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada umur 55 tahun dan simpanan asas membolehkan ahli memperolehi jumlah minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi membiayai keperluan asas persaraan apabila bersara kelak selama 20 tahun bermula daripada umur 55 hingga 75 tahun.

Jeffary menjelaskan, tidak mempunyai baki simpanan asas yang mencukupi menjadi antara tiga cabaran utama dihadapi pihaknya di Wilayah Utara selain perubahan trend pekerjaan ke arah sektor informal dan kadar penyertaan ahli KWSP beragama Islam dalam Simpanan Syariah yang masih rendah.

Bagi memastikan penyertaan maksimum mereka yang berada dalam sektor informal, beliau menyatakan KWSP mengambil pendekatan dengan mengadakan pelbagai program untuk menyebarkan maklumat serta mempromosikan mengenai kepentingan menyimpan.

"Sekarang di KWSP, kita ada Mobile Truck yang merupakan antara program khidmat bantuan yang kita buat setiap minggu selain ada pasukan di luar untuk bersama-sama dengan masyarakat untuk kita mempromosikan tentang simpanan termasuk mereka yang berada dalam sektor informal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jeffary memaklumkan setakat Jun lepas, lebih 44 peratus populasi di Wilayah Utara meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah berdaftar dengan KWSP iaitu lebih dua juta ahli dengan 1.25 juta ahli aktif.

Selain itu, sebanyak 111,800 majikan berdaftar KWSP di Wilayah Utara dan agensi berkenaan mempunyai 14 cawangan secara keseluruhan di Wilayah Utara termasuk enam di Perak; empat di Kedah; tiga di Pulau Pinang dan satu di Perlis. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!