Banjir di Thailand: Lebih 100 buaya ditakai demi keselamatan penduduk

Lebih 100 ekor buaya dewasa dari Ladang Buaya Iintern Lamphun di Wilayah Lamphun, Thailand ditakai. Gambar hiasan.
Lebih 100 ekor buaya dewasa dari Ladang Buaya Iintern Lamphun di Wilayah Lamphun, Thailand ditakai. Gambar hiasan.
A
A
A

BANGKOK - Lebih 100 ekor buaya dewasa dari Ladang Buaya Iintern Lamphun di Wilayah Lamphun, Thailand ditakai demi keselamatan penduduk berikutan banjir buruk melanda kawasan itu.

Media tempatan melaporkan bahawa banjir memusnahkan tanah pertanian dan ladang ternakan yang luas di pelbagai wilayah, khususnya di wilayah timur laut dan utara Thailand.

Menurut laporan Thai PBS World pada Selasa, pemilik Ladang Buaya Intern Lamphun di Ban San Khayom, di Daerah Mueang, Natthapark Kamkart berkata, hujan lebat dan banjir sejak kebelakangan ini menyebabkan sebahagian dinding ladangnya runtuh.

Natthapark berkata, dia dengan berat hati membuat keputusan untuk menakai lebih 100 ekor buaya dewasa kerana dibimbangi terlepas dan membahayakan keselamatan penduduk ekoran kejadian banjir.

"Hujan tahun ini begitu lebat, dan saya terpaksa membuat keputusan segera,” katanya sambil mengakui ia adalah keputusan yang sukar kerana dia telah memelihara buaya-buaya itu selama kira-kira 17 tahun.

Susulan ramalan hujan berterusan, Natthapark menyuarakan kebimbangan sekiranya keseluruhan tembok ladangnya runtuh, yang boleh menyebabkan banyak buaya terlepas.

Pada kebiasaannya, Natthapark berkata, dia tidak akan menakai buaya dewasanya kerana ini akan menjejaskan operasi pembiakan untuk tahun-tahun mendatang.

Sementara itu, Jabatan Pencegahan dan Tebatan Bencana (DDPM) pada Khamis mengeluarkan amaran banjir dan tanah runtuh di 31 wilayah di Thailand dalam tempoh 24 jam akan datang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!