Pencemaran Sungai Kuang: LUAS buka kertas siasatan
SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membuka kertas siasatan terhadap pihak disyaki terlibat dalam pencemaran air berbuih di alur Sungai Kuang pada Isnin lalu.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan di kawasan Matang Pagar berikutan penemuan pencemaran air berbuih berkenaan.
Menurut beliau, semakan LUAS dan agensi terlibat mendapati 45 tangki IBC diletakkan di tapak bersebelahan dewan serba guna, Matang Pagar yang disyaki mengandungi kandungan bahan sabun pencuci pelbagai guna dan juga pencuci lantai.
"Semakan lanjut LUAS mendapati beberapa tangki tersebut telah pecah dan bocor sehingga menyebabkan kandungan bahan dalam tangki tersebut melimpah keluar sehingga ke longkang bersebelahan dewan serba guna tersebut dan masuk ke dalam Sungai Kuang serta akhirnya akan masuk ke dalam Sungai Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jamaliah memberitahu, LUAS membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79 Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat.
Kata beliau, operasi bersepadu itu melibatkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (HAZMAT) dan polis.
Beliau memberitahu, JAS telah melakukan pensampelan di tapak dan juga di dalam longkang terlibat bagi mengenal pasti jenis sisa tersebut dan sampel di lokasi juga dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.
Tambah beliau, MPS akan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di tapak merujuk kepada analisis sampel kandungan bahan di dalam tangki tersebut sekiranya ia bukan bahan terjadual.
"Kontraktor dilantik oleh pihak JAS pula akan melakukan kerja-kerja pembersihan tersebut sekiranya kandungan sisa di dalam tangki tersebut disahkan sebagai bahan terjadual," ujar beliau.
Sehubungan itu, Jamaliah memberitahu, sebanyak 10 beg Activated Carbon (AC) telah diletakkan oleh LUAS di kawasan longkang terlibat sebagai langkah kawalan dan pencegahan di tapak.
Tambah beliau, pensampelan bau juga telah dilaksanakan oleh LUAS di lokasi dan mencatatkan bacaan 0 ton.
"LUAS telah memulakan pemantauan rapi di dalam tempoh tujuh hari bermula Khamis di
lokasi terlibat bagi memastikan potensi dan risiko aliran pencemaran dicegah dan dikawal sehingga keputusan analisis oleh pihak JAS diterima dan pembersihan dilaksanakan sepenuhnya," kata beliau.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan, sebanyak lapan tong disyaki mengandungi bahan kimia ditemukan di parit kawasan perindustrian Jalan Desa Aman, Sungai Buloh.
Tong tidak berlabel itu dikesan berada di lokasi terbabit sekitar jam 2 petang, Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!