Akademi Keselamatan Siber Malaysia akan beroperasi 2025
SHAH ALAM - Akademi Keselamatan Siber Malaysia akan beroperasi pada suku kedua tahun 2025 dengan menawarkan kursus yang berpaksikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, akademi itu akan mengisi kekosongan tenaga kerja mahir bidang keselamatan siber selain berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber negara untuk menilai kepakaran, menyelaras penyelidikan dan membangunkan keupayaan keselamatan siber secara menyeluruh serta berterusan.
"Langkah ini mendukung aspirasi Kementerian Digital untuk memperbanyakkan lagi bakat digital, terutamanya dalam bidang keselamatan siber.
"Ia akan memperkukuh keberkesanan negara dan industri dalam menangani isu-isu keselamatan siber," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Akademi Keselamatan Siber akan ditubuh bagi menampung lebih 26,000 kekosongan tenaga kerja dalam bidang itu.
Beliau berkata, akademi itu akan diletak di bawah penyelarasan CyberSecurity Malaysia bagi memenuhi keperluan tenaga kerja mahir keselamatan siber yang mendesak dalam kalangan syarikat semikonduktor dan berasaskan elektronik.
Tambah Gobind, akademi berkenaan akan membangunkan bakat keselamatan siber TVET bertaraf antarabangsa bermatlamat mentransformasikan Malaysia menjadi hab keselamatan siber global dan mempromosi penerapan nilai serta etika murni dalam keselamatan siber bagi memperkukuhkan disiplin kendiri individu terhadap ancaman teknologi digital.
"Ia juga merangkumi pelaksanaan strategi pemasaran dan pensijilan profesional untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa.
"Akademi Keselamatan Siber Malaysia juga turut berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber TVET premier, khusus untuk penjawat awam, tenaga kerja industri dan akademia," katanya.
Jelasnya, akademi tersebut menawarkan program pensijilan jangka pendek dan sederhana termasuk program micro-credential, nano-credential serta menyediakan silibus keselamatan siber yang boleh digunapakai universiti, politeknik termasuk kolej tempatan.
Ujar beliau, jumlah keperluan tenaga kerja keselamatan siber di Malaysia dijangka akan meningkat kepada 26,430 pada penghujung 2025 dan seterusnya kepada 28,068 pada 2026.
"Ini berdasarkan kajian yang dilaksanakan CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), serta Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) pada tahun 2023.
"Sehingga Julai 2024, CyberSecurity Malaysia telah merekodkan sebanyak 16,765 tenaga kerja yang berpengetahuan dalam bidang keselamatan siber," katanya.
Menurut Gobind, akademi itu memberi tumpuan terhadap beberapa bidang kritikal seperti Pengendalian dan Tindak Balas Insiden, Tadbir Urus Keselamatan Siber, Jaminan dan Penilaian Keselamatan, Forensik Digital serta Kriptografi.
Ujarnya, sebagai peneraju pembangunan kapasiti keselamatan siber negara, CyberSecurity Malaysia yang diiktiraf sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) Bidang Keselamatan Siber di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
"Selaku ketua kumpulan kerja Teknikal dan Teknologi Keselamatan Siber (TTWG) di bawah Malaysia Board of Technologists (MBOT) akan mentransformasikan program Pembangunan Profesional Keselamatan Siber sedia ada menjadi Akademi Keselamatan Siber Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!