Delegasi BN ke China atas jemputan rasmi - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh pada Khamis. Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas Program Tautan Kasih Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Runtuh pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lawatan delegasi BN ke China baru-baru ini hanya memenuhi jemputan rasmi daripada kerajaan negara itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, lawatan itu merupakan lawatan biasa bertujuan memberi pendedahan mengenai kemajuan yang dilaksanakan di republik tersebut.

"Begitu juga dalam Perhimpunan Agung UMNO, kita jemput semua parti politik sahabat seluruh dunia untuk datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Tautan Kasih di Kampung Orang Asli Tanah Runtuh di sini pada Khamis.

Ahmad Zahid juga menegaskan bahawa tiada sebarang unsur indoktrinasi berlaku sepanjang lawatan tersebut, dengan BN tetap berpegang teguh kepada ajaran Islam dan semangat nasionalisme sebagai sebuah negara merdeka.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menafikan dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Sahruddin Jamal yang dilaporkan bimbang lawatan delegasi BN ke China akan membawa ajaran komunis.

Mohd Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata lawatan ke negara itu adalah bersempena 50 tahun hubungan persahabatan Malaysia-China. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!