Geledah, sita premis dikaitkan GISBH di Sabah, Sarawak - KPN
KUALA LUMPUR - Agensi berkaitan dicadang untuk mengambil tindakan penggeledahan dan sitaan ke atas premis yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Sabah dan Sarawak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan sesi mesyuarat bersama agensi kerajaan terlibat dalam siasatan GISBH bagi meneliti situasi semasa pengoperasian premis terbabit di Sabah dan Sarawak.
Katanya, mesyuarat itu turut melibatkan wakil daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
"Hasil mesyuarat mendapati premis yang dikaitkan dengan GISBH di Sabah dan Sarawak telah ditutup dan tidak beroperasi.
"Justeru, dicadangkan agar agensi-agensi yang terbabit mengambil tindakan untuk menggeledah dan menyita premis terlibat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 3/1995 dan Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 bagi premis di Sabah.
"Bagi di Sarawak pula, tindakan sama akan dilaksanakan di bawah Seksyen 44 Ordinan Tatacara Jenayah Syariah (Sarawak) dan Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, polis akan membantu sepenuhnya dalam menjalankan tindakan itu.
Jelasnya, walaupun premis-premis terbabit dikesan tidak beroperasi, PDRM akan terus memantau bagi memastikan individu terlibat dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, pada Khamis, PDRM telah memperoleh lanjutan reman tujuh tangkapan bersabit Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
"Kesemua tangkapan ini disambung reman lima hari sehingga 1 Oktober," ujarnya.
Berhubung dakwaan pekerja GISBH tidak dibayar gaji, Razarudin berkata, pihaknya menerima 10 laporan polis dan siasatan akan dijalankan untuk meneliti pendakwaan yang boleh dilaksanakan.
"PDRM menyeru ahli atau pengikut GISBH untuk tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
"Ini bagi membantu siasatan secara komprehensif ke atas organisasi terbabit," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!