Malaysia di tangga ke-33 dalam Laporan Indeks Inovasi Global

 Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024. Gambar hiasan
Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menduduki tangga ke-33 daripada 133 negara dengan skor keseluruhan 40.5 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024, menunjukkan peningkatan ketara selepas tiga tahun berturut-turut menduduki tempat ke-36.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, bahawa pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperbaiki ekosistem inovasi negara dan seterusnya meningkatkan daya saing di peringkat global.

Dalam laporan yang sama, Malaysia terus kekal di tangga kedua sebagai negara paling berinovasi selepas China dalam kalangan 36 negara berpendapatan sederhana tinggi. Bagi negara ASEAN, Malaysia juga mengekalkan kedudukan di tempat kedua selepas Singapura.

Menurut kenyataan tersebut, Malaysia berjaya mengekalkan kedudukan pertama dalam tiga sub-indikator iaitu Graduates in Science and Engineering, High-Tech Exports, dan Creative Goods Exports.

"Ekosistem inovasi Malaysia turut diperkukuhkan dengan Kuala Lumpur menduduki tangga ke-93 dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi yang turut dilaporkan dalam Laporan GII 2024.

"Kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi buat kali pertama sejak tahun 2016 merupakan bukti peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab inovasi dan kemajuan teknologi di rantau Asia Tenggara," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa peningkatan prestasi Malaysia dalam GII dan kemasukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi membuktikan komitmen kerajaan, khususnya MOSTI, dalam memperkukuh ekonomi negara berasaskan inovasi.

MOSTI juga menegaskan bahawa Malaysia akan terus mempergiatkan usaha melabur dalam modal insan dan infrastruktur teknologi bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat global.

Artikel Berkaitan:

Bagi memastikan Malaysia mencapai kedudukan 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025, MOSTI, dengan kerjasama semua kerajaan negeri, sedang membangunkan Malaysia Innovation Index yang akan dilancarkan pada tahun depan.

"Inisiatif ini bertujuan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ekosistem inovasi di setiap negeri, sekali gus membolehkan pelaksanaan intervensi yang sesuai bagi memperkukuhkan ekosistem inovasi negara.

"Inisiatif ini juga selaras dengan iltizam Kerangka Dasar Malaysia MADANI untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya cipta dan pengeluar teknologi menjelang 2030," menurut kenyataan tersebut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!