CRESS: Kadar caj akses sistem ditetapkan 25 sen dan 45 sen

Kadar caj akses sistem ditetapkan 25 sen dan 45 sen kWj.
Kadar caj akses sistem ditetapkan 25 sen dan 45 sen kWj.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar Caj Akses Sistem (CAS) untuk Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) ditetapkan pada 25 sen setiap kilowatt jam (kWj) bagi output bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu yang berbentuk firm.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan berkata, bagi output bekalan elektrik yang dijana daripada sumber tenaga boleh baharu yang berbentuk non-firm pula, kadar CAS ditetapkan pada 45 sen kWj.

Kementerian itu memaklumkan maklumat mengenai jenis output bekalan elektrik dan kadar CAS yang dikenakan telah diperincikan di dalam Garis Panduan CRESS yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) berkuat kuasa pada 20 September lepas.

Sehubungan itu pemain industri dan pemegang taruh boleh merujuk dokumen kawal selia berkaitan pelaksanaan program CRESS, termasuk panduan serta kadar CAS di laman sesawang ST di pautan https://www.st.gov.my/eng/web/industry/details/16/25.

Petra sebagai kementerian yang menerajui inisiatif peralihan tenaga sektor bekalan elektrik dan pembangunan tenaga lestari negara, mempelawa penyertaan syarikat korporat dalam program CRESS bagi memenuhi komitmen alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) masing-masing.

Petra juga yakin program CRESS mampu menyokong usaha kerajaan meningkatkan kapasiti terpasang tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70 peratus pada 2050.

"Langkah ini bakal mengukuhkan lagi aspirasi nasional dalam mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan api fosil," menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!