Najib tidak minta kajian kebolehlaksanaan untuk pinjaman SRC

Najib. Gambar fail Bernama
Najib. Gambar fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak meminta kajian kebolehlaksanaan dilakukan bagi kelulusan pinjaman berbilion ringgit SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan kerana yakin dengan pengurusan syarikat pelaburan stragetik itu.

Memberi keterangan sebagai saksi defendan pada prosiding saman AS$1.18 bilion yang difailkan SRC International terhadapnya, Najib berkata, ini kerana Lembaga Pengarah SRC International adalah terdiri daripada individu yang mahir dan berkebolehan.

"Saya yakin dengan pengurusan SRC untuk melakukan apa yang perlu supaya syarikat menghasilkan pulangan.

"Merekalah yang membantu memastikan wang dibelanjakan dalam cara yang amat produktif," katanya ketika disoal balas oleh peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC.

Ditanya mengenai tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam mengendalikan proses kelulusan pinjaman RM2 bilion itu, Najib berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) harus berpuas hati dengan proses yang perlu dilakukan sebelum mengeluarkan memorandum berkaitan pinjaman tersebut.

Lim: Saya katakan kepada anda bahawa mengikut andaian anda, EPU telah berpuas hati.

Najib: Saya percaya begitu kerana mereka adalah agensi pusat, jika tidak mereka tidak akan menyediakan memorandum itu.

Lim: Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Pengerusi Lembaga Penasihat SRC, anda harus berpuas hati mengikut Akta 96 Akta Jaminan Pinjaman (Badan Korporat) 1965.

Artikel Berkaitan:

Najib: Pada masa itu saya berpuas hati.

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 yang mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami SRC akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut beliau membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!