Dua rakan dipenjara, sebat rompak pemandu e-Hailing

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua rakan masing-masing dihukum penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak dan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pemandu perkhidmatan e-hailing, tahun lepas.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas R. Nanthakumar ,33, dan C.S. Komagan ,41, kedua-duanya buruh, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan rompakan.

Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara itu bermula pada tarikh tangkap pada 11 Disember 2018.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh dihukum penjara tiga tahun dan empat sebatan atas kesalahan merompak pemandu e-hailing yang lain.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas Muhammad Asfaruddin Sabarudin, 26, dengan mengambil wang tunai RM80 dan dengan niat bersama sengaja mendatangkan cedera ke atas mangsa di Jalan Bukit Tunku, Jalan Sultan Ismail di sini pada 4.05 petang, 5 Disember 2018 mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira mangsa mengalami kecederaan dan ia adalah kesalahan serius.

Bagaimanapun, Nanthakumar dan Komagan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mereka menanggung keluarga.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh telah menempah perkhidmatan e-hailing dari perjalanan Times Square ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Artikel Berkaitan:

Namun, mereka mengubah haluan ke Jalan Bukit Tunku dengan alasan untuk mengambil komputer riba dan setibanya di sana, Nanthakumar telah mengacukan pisau lipat ke perut mangsa dan seorang lagi (Komagan) mencekik leher sebelum meminta mangsa mengeluarkan semua wang dan barangan berharga.

Ketika kejadian itu, berlaku pergelutan dan tertuduh pertama (Nanthakumar) telah menikam peha kiri mangsa dan melarikan wang tunai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!