Wartawan didakwa timbulkan ketakutan mengenai koronavirus di Facebook
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang wartawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan dengan niat untuk menimbulkan ketakutan mengenai koronavirus di laman Facebook miliknya bulan lalu.
Tertuduh, Wan Noor Hayati Wan Alias, 41, mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Tawfiq Affandy Chin.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa membuat tiga pernyataan berasingan menggunakan laman sosial Facebook atas nama ‘Ibu Yati’.
Tertuduh didakwa membuat pernyataan itu dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam atau mana-mana golongan awam.
Kesemua kesalahan didakwa dilakukan pada jam 10 malam, 26 Januari lalu di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 505 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azma meminta mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, wartawan yang masih bertugas di salah sebuah syarikat akhbar merayu supaya jaminan diberi dalam jumlah yang rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan turut menetapkan kes disebut semula pada 11 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!