Cipta kenangan baca, tadabbur surah An-Nisa di Masjid Muhammadi

Wanita Kelantan #QuranHour 2024 akang berlangsung di Masjid Muhammadi Kota Bharu, Sabtu ini. (Gambar kecil: A'isyah)
Wanita Kelantan #QuranHour 2024 akang berlangsung di Masjid Muhammadi Kota Bharu, Sabtu ini. (Gambar kecil: A'isyah)
A
A
A

KOTA BHARU - Program Wanita Kelantan #QuranHour 2024 yang julung kali diadakan pada Sabtu ini membabitkan lebih 1,000 wanita di Kelantan akan memberi pengalaman berharga kepada semua peserta melalui penghayatan dan tadabbur al-Quran.

Pengarah Program Wanita Kelantan #QuranHour 2024, Dr A'isyah Che Rahimi berkata, selain menghargai wanita Kelantan, program berkenaan bertujuan berkongsi ilmu al-Quran sebagai bekalan akhirat.

"Kita mengajak mereka untuk bersama-sama bukan sahaja membaca al-Quran malah menghayati, mentadabbur yang akhirnya dapat diamalkan bersama keluarga dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau berkata, sesuai dengan tugas besar wanita iaitu mendidik diri dan anak-anak, program berkenaan diharap dapat membantu golongan berkenaan meningkatkan pengetahuan al-Quran untuk generasi seterusnya.

"Peserta akan bersama mentadabbur surah An-Nisa ayat 94 hingga 100 yang dapat membantu mencapai misi masuk syurga sekeluarga.

"Banyak pengajaran daripada surah An-Nisa yang akan kita peroleh antaranya menjadi contoh untuk melakukan perubahan (hijrah) demi kebaikan dan mendidik keluarga dengan nilai keadilan dan akhlak baik.

"Ada banyak pengajaran dan kebaikan yang sangat indah dalam surah ini untuk kami kongsikan. Jadi semua wanita dijemput hadir bagi mencipta kenangan bersama selain menghayati nilai murni al-Quran," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Promosi Program Wanita Kelantan #QuranHour 2024, Surena Mohd Noor menyeru semua wanita semua peringkat usia hadir pada program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Surena, program itu memberi kefahaman kepada peserta bahawa al-Quran bukan sahaja untuk dibaca tetapi difahami dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Surena
Surena

Lebih istimewa katanya, mereka yang hadir turut menerima cenderamata kenangan daripada pihak penganjur iaitu Persatuan Rumah Ngaji Kelantan, Wanita Ikram Kelantan dan Masjid Muhammadi Kota Bharu.

"Kita mahu semua wanita di negeri ini mencipta kenangan bersama melalui Wanita Kelantan #QuranHour 2024 dan mendapat pahala keberkatan melalui pembacaan dan tadabbur al-Quran," katanya.

Program Wanita Kelantan #QuranHour 2024 akan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Marhaini Yusoff.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!