Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS

Mata wang tempatan berkurangan kepada 4.1430/1485 berbanding 4.1275/1310 semasa ditutup semalam. Gambar hiasan
Mata wang tempatan berkurangan kepada 4.1430/1485 berbanding 4.1275/1310 semasa ditutup semalam. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada Khamis berikutan aktiviti pengambilan untung selepas meningkat dengan ketara pada awal minggu, dan berhati-hati menjelang pengumuman data perbelanjaan penggunaan peribadi (PCE) Amerika Syarikat (AS) esok, kata penganalisis.

Mata wang tempatan berkurangan kepada 4.1430/1485 berbanding 4.1275/1310 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit diniagakan pada RM4.1518 semasa sesi pagi, kemudiannya mengukuh kepada RM4.1202 sebelum bergerak lebih rendah kepada RM4.1425 menjelang akhir dagangan.

Ringgit turut susut berbanding mata wang utama lain, termasuk pound Britain, yen Jepun dan dolar Singapura. Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) meningkat hari ini, berlegar pada sekitar 100.926 mata.

"Semangat terhadap langkah rangsangan China dilihat semakin pudar, menyebabkan permintaan yang lebih tinggi terhadap mata wang selamat seperti dolar AS. (Sehubungan itu) ringgit juga berada dalam kedudukan terlebih beli, membawa kepada aktiviti pengambilan untung,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, beliau melihat paras rintangan dan sokongan masing-masing pada RM4.0728 dan RM4.2128 berbanding dolar AS.

Afzanizam berkata pasaran akan turut memantau data utama seperti PCE AS yang akan diumumkan pada Jumaat. Pasaran menjangkakan indeks harga PCE akan terus menyederhana kepada 2.3 peratus pada Ogos daripada 2.5 peratus pada Julai.

"Setakat ini, penurunan kadar AS masih kukuh untuk mesyuarat pada November yang berkemungkinan sekitar 25 hingga 50 mata peratusan berdasarkan niaga hadapan kadar faedah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali euro, apabila meningkat sedikit kepada 4.6157/6218 daripada 4.6158/6197 semalam.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.5317/5391 daripada 5.5189/5236 dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.8634/8674 daripada 2.8625/8652.

Ringgit turut didagangkan kebanyakannya menyusut berbanding mata wang ASEAN.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.2204/2249 daripada 3.2121/2150 semasa ditutup pada Rabu dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.41 daripada 7.38/7.39.

Mata wang tempatan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 273.1/273.6 tetapi lebih rendah kepada 12.7242/7489 daripada 12.6158/6353 berbanding baht Thailand. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!