Pekerja pembinaan maut tercampak 27 meter dirempuh kereta

Keadaan di lokasi kejadian di Kilometer 32, Jalan Kunak-Tawau.
Keadaan di lokasi kejadian di Kilometer 32, Jalan Kunak-Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang pekerja pembinaan maut selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas di Kilometer 32, Jalan Kunak-Tawau di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 62 tahun tercampak sejauh 27 meter sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, hasil siasatan, kejadian melibatkan lelaki berusia 26 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan dari Kunak menuju ke Hospital Tawau.

"Ketika tiba di lokasi, pemandu tersebut dipercayai telah memandu laju dan memintas dua kenderaan di hadapannya.

"Bagaimanapun, pemandu telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar seorang lelaki berumur 62 tahun yang berada di bahu kiri jalan yang sedang melakukan kerja pembinaan memasang cerucuk bersama dua lagi rakannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kereta yang merempuh mangsa sehingga tercampak dan maut dalam kejadian di Kilometer 32, Jalan Kunak-Tawau.
Kereta yang merempuh mangsa sehingga tercampak dan maut dalam kejadian di Kilometer 32, Jalan Kunak-Tawau.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa tercampak sejauh 27 meter ke bahu jalan di laluan bertentangan dan mengalami kecederaan parah di badan.

"Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Balung manakala dua lagi rakannya dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Susulan kejadian itu, Champin berkata, pemandu tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan.

"Polis masih meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!