PTPTN bantu bangunkan modal insan negara

Penerima WPP bergambar bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim serta Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid ketika Majlis Penyerahan WPP PTPTN bertempat di Ritz Garden Hotel Manjung, Perak.

A
A
A

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan komitmennya dalam membangunkan modal insan negara dengan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada pelajar yang menyambung pengajian di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) pada Oktober depan.

Inisiatif itu tidak hanya meringankan beban kewangan pelajar tetapi membuka peluang kepada mereka untuk meneruskan pengajian sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.

Seramai 26,534 pelajar menerima tawaran menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda ke IPTA menarik nafas lega apabila ditawarkan WPP oleh PTPTN bagi sesi Oktober ini melibatkan peruntukan sebanyak RM39.8 juta.

Norliza (tengah) bersama Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman (kanan) menyerahkan replika kad WPP berjumlah RM1,500 kepada pelajar secara walkabout melibatkan tiga buah rumah di Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN juga komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

WPP diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah bersetuju menerima pinjaman tersebut semasa membuat permohonan kemasukan IPTA melalui UPUOnline atau portal kemasukan IPTA.

Selain itu, WPP diberikan kepada pelajar yang mempunyai ibu bapa atau penjaga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.

Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 24 September lepas melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud (tengah) bersama Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Sabah, Muliati Kamaruddin menyerahkan replika kad WPP kepada enam penerima secara walkabout di Parlimen Kota Belud, Sabah.

Pelajar hanya perlu membawa bersama cetakan surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 September hingga 23 November 2024.

Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, PTPTN terus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan.

“Pemberian WPP berjumlah RM1,500 kepada setiap pelajar yang layak bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal memasuki universiti awam dan politeknik sekali gus menjaga kebajikan mahasiswa.

“Sejak WPP diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Ogos tahun ini, seramai 980,120 pelajar menerima manfaat inisiatif tersebut dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion,” tambah beliau.

Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kelantan, Hamdan Razali (kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (kanan) menyampaikan kad replika WPP kepada 36 penerima di Gua Musang, Kelantan.

Norliza berkata, pelajar boleh memohon pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan ditetapkan bagi setiap IPTA.

Syaratnya perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi berkenaan.

Maklumat lanjut berkenaan

WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

WPP bantu memudahkan urusan Kebanyakan bakal mahasiswa universiti meluahkan rasa syukur apabila layak menerima bantuan WPP oleh PTPTN untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

Bakal pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Ahmad Ubaydillah Daud berkata, dia merupakan individu pertama dalam kalangan ahli keluarganya yang menerima wang pendahuluan tersebut.

AHMAD UBAYDILLAH
AHMAD UBAYDILLAH

Menurut penuntut jurusan Pengajian Islam Dakwah yang berusia 21 tahun, wang berjumlah RM1,500 itu memadai untuk menampung perbelanjaan sebelum memasuki alam universiti.

“Saya boleh menggunakan wang ini untuk menampung perbelanjaan pembelian pakaian baharu, alat tulis dan yuran awal pengajian.

“Tidak dinafikan, ia sangat membantu mempermudahkan urusan saya dan sedikit sebanyak meringankan beban keluarga,” kata pemuda asal Kelantan itu ketika dihubungi Sinar Harian.

NUR KIASATINA
NUR KIASATINA

Seorang lagi penerima, Nur Kiasatina Zul Khairi, 22, dari Lumut memaklumkan, dia amat bersyukur ketika diberitahu akan memperoleh bantuan WPP sebelum melangkah kaki ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Jelasnya, wang tersebut akan digunakan bagi tujuan membeli buku nota dan barangan keperluan kerana amaunnya mencukupi dan tidak perlu terlalu berharap pemberian wang daripada ibu bapanya.

“Wang pendahuluan ini sangat membantu meringankan beban saya untuk membeli barang keperluan. “Secara peribadi, inisiatif WPP oleh PTPTN ini sangat bermanfaat terutamanya buat kami pelajar yang memerlukan wang untuk persediaan sambung belajar,” kata Nur Kiasatina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!