Isi ikan hancur akibat dibom
KOTA KINABALU - Organ dalaman ikan hancur dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom antara kegiatan yang dikesan dilakukan sekumpulan individu di perairan Pulau Sepanggar di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, empat lelaki berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut bagi mengelak ditangkap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, rampasan itu dibuat ketika anggotannya menjalankan pemantauan di perairan tersebut.
"Sebuah bot pancing dikesan dan bot maritim cuba merapati bot berkenaan tetapi disedari kumpulan individu tersebut sebelum mereka bertindak terjun ke laut lalu berenang ke ke kawasan darat berhampiran.
"Hasil pemeriksaan pada bot yang ditinggalkan, terdapat 400 kilogram ikan pelbagai spesies dipercayai dibom.
"Siasatan awal pada sampel ikan itu juga mendapati organ dalaman telah hancur disyaki impak daripada aktiviti mengebom," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Che Engku Suhaimi berkata, bot dan ikan yang ditemui dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM50,000.
Beliau dalam pada itu memberi amaran keras kepada pihak yang melakukan aktiviti mengebom ikan bahawa tindakan tegas akan diambil kerana ia adalah satu kesalahan yang serius.
"Aktiviti itu memberi kesan buruk kepada ekosistem laut dan menyebabkan habitat hidupan laut semakin terjejas.
"Komuniti maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan dengan kaedah yang menyalahi undang-undang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!