'Akaun bank saya digunakan bagi tujuan CSR' - Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi mengikuti prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Rabu. Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi mengikuti prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa satu daripada akaun bank AmIslamik beliau yang menerima deposit AS$70 juta telah digunakan sebagai akaun untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan bukannya akaun peribadi.

Bekas Perdana Menteri berusia 71 tahun itu berkata, meskipun akaun semasa tersebut, yang kini ditutup, didaftarkan atas nama beliau, ia tidak digunakan bagi perbankan peribadi atau urusan persendirian dan dana dalam akaun itu adalah untuk inisiatif CSR.

"Ia memang atas nama saya tetapi adalah akaun bagi CSR, ia bukan akaun peribadi dan tidak boleh dikatakan sebagai akaun untuk saya melakukan transaksi peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi defendan dalam saman AS$1.18 bilion yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas.

Najib merujuk kepada akaun AmIslamik yang berakhir dengan angka 694 serta nama kod "AmPrivate Banking-MR” yang didakwa menerima dana yang diseleweng daripada SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semasa disoal balas oleh peguam Datuk Lim Chee Wee, yang mewakili SRC International, Najib berkata pada Januari 2012, baki pembukaan dalam akaun itu ialah RM290,953,606.38 dan baki penutup ialah RM505,040,092.48.

Chee Wee: Sebanyak RM200 juta (AS$70 juta) telah dikreditkan ke dalam akaun itu pada Januari 2012, kira-kira empat bulab selepas SRC menerima pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan pada Ogos 2011. Adakah ini betul Datuk Seri?

Najib: Ini hanyalah kebetulan. Ia tidak ada kena-mengena dengan SRC.

Chee Wee kemudian berkata Najib tidak merujuk kepada sumber AS$70 juta yang dikreditkan ke akaun peribadinya dalam pernyataan saksi atau pembelaan beliau dan Najib menjawab "Ya."

Artikel Berkaitan:

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

SRC memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntutnya agar membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!