Dipukul, ditikam teman lelaki Rohingya sebab mahu balik kampung

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JEMPOL - [DIKEMAS KINI] Gara-gara tidak berpuas hati dengan hasrat teman wanita yang mahu pulang ke kampung halamannya di Indonesia, seorang lelaki warga Myanmar bertindak memukul dan menikam mangsa.

Dalam kejadian jam 3.30 petang di sebuah rumah di Taman Acbe, Bahau di sini pada Khamis, mangsa cedera parah di muka, perut dan bahu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 5.30 petang daripada seorang lelaki tempatan tentang berlakunya pergaduhan di lokasi.

"Hasil siasatan mendapati kejadian membabitkan mangsa wanita warga Indonesia berusia 40 tahun, manakala suspek lelaki Rohingya berusia 38 tahun.

"Difahamkan, suspek telah bertindak memukul dan menyerang mangsa dengan sebilah pisau," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kejadian itu telah mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka, bahu kiri dan perut.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Pilah untuk rawatan lanjut dan kini masih ditahan di wad.

"Punca kejadian disebabkan suspek tidak bersetuju dengan hasrat mangsa yang hendak pulang ke Indonesia.

Artikel Berkaitan:

"Suspek pula telah berjaya melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis SM Sport 10R dengan nombor pendaftaran NDL 8309," katanya.

Chang Hook berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya.

Jelasnya, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara boleh sampai 20 tahun, denda atau sebat.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh salurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di talian 06-4582222, Bilik Gerakan Jempol: 06-4583449 atau pegawai penyiasat, Inspektor Ardie Robert 018-4666374," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!