Bapa Al Fateh ditukarkan bertugas di Melaka
SHAH ALAM – Bapa kepada bayi lapan bulan yang maut didera oleh pengasuh di taman asuhan kanak-kanak (taska), Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 39, akhirnya dapat bertugas ke Melaka selepas 14 tahun berjauhan dengan isterinya.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya, Mohd Fikri Amri melahirkan rasa syukur penantiannya untuk tinggal sebumbung dengan isterinya di Melaka menjadi kenyataan.
Beliau yang sebelum ini bertugas di Kem Perdana Sungai Besi turut memuat naik sekeping gambar ketika melakukan urusan serah tugas pada Rabu.
“Alhamdulillah syukur selesai serah menyerah tugas. Pemergian Al Fateh menjadi asbab untuk saya kembali ke Melaka.
“Semoga dipermudahkan urusan saya di tempat baru. Dapat daddy dan mommy melawat kubur Al Fateh hari-hari, Insya-ALLAH,” katanya pada Khamis.
Beliau dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata semangat kepadanya.
“Semoga Allah membalas jasa kalian dengan rezeki berlipat ganda,” ujarnya
Dalam kejadian kira-kira 8 pagi 6 September lalu, Al Fateh yang berusia lapan bukan meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka bayi berkenaan dengan bantal.
Tindakan pengasuh wanita berusia 34 tahun itu dilihat menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebelum polis menahan reman pengasuh berkenaan dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!