Sumbangan RM57.3 bilion pelaburan AWS kepada KDNK dijangka dapat dipercepatkan

Anwar (tengah) pada majlis Makan Malam Penghargaan Pelancaran AWS Malaysia Region, di sini, malam Khamis.
Anwar (tengah) pada majlis Makan Malam Penghargaan Pelancaran AWS Malaysia Region, di sini, malam Khamis.
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan yakin sumbangan Amazon Web Services (AWS) Wilayah Asia Pasifik (Malaysia) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dianggarkan berjumlah RM57.3 bilion boleh dipercepat kepada tahun 2032 daripada 2038.

Ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan pelancaran AWS Malaysia Region, di sini, malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, AWS menjadi rakan pembangunan yang teguh dalam usaha transformasi digital negara.

Beliau berkata, pelancaran AWS Region dengan pelan pelaburan 15 tahunnya menekankan komitmen jangka masa panjang syarikat itu yang tidak berbelah bahagi.

Projek wilayah AWS Malaysia, bernilai RM29.2 bilion, dijangka menjana lebih 3,500 pekerjaan dan menyumbang RM57.3 bilion kepada KDNK Malaysia antara 2024 dan 2038.

Bagaimanapun, Anwar menyatakan keyakinan bahawa sumbangan itu dapat direalisasikan lebih awal.

Beliau seterusnya menekankan komitmen kerajaan terhadap transformasi digital dan meletakkan Malaysia sebagai hab serantau untuk kecerdasan buatan (AI).

"Berdasarkan pertumbuhan pesat pengkomputeran awan dan perkhidmatan digital, kedudukan AWS yang diperluas melalui pelancaran AWS Wilayah Infrastruktur di Malaysia memberikan isyarat jelas kepada perniagaan di seluruh dunia bahawa Malaysia semakin pantas menjadi destinasi serantau utama untuk pelaburan digital.

"Dasar kami untuk menarik pelaburan digital adalah jelas, dengan inisiatif seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dan peneraju serantau dalam pendigitalan," kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!