MCW kemuka cadangan penambahbaikan kepada JIM elak rasuah

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi mengelakkan jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa daripada berleluasa.

MCW berkata, antara cadangan tersebut adalah larangan penggunaan telefon bimbit semasa bertugas sepertimana dilaksanakan negara maju contohnya Eropah, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Korea Selatan.

Hal ini kerana menurutnya, mana-mana pegawai penguatkuasa tidak dibenarkan sama sekali menggunakan telefon peribadi semasa bekerja melainkan terdapat urusan peribadi atau kecemasan.

“Larangan ini bertujuan untuk mengurangkan potensi manipulasi atau komunikasi dengan pihak luar yang boleh mengundang kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Penggunaan telefon hanya dibenarkan dalam kes kecemasan atau komunikasi rasmi melalui telefon pejabat.

“Selain itu, wajibkan penggunaan kamera badan terutamanya ketika menjalankan operasi lapangan dan di kaunter imigresen di lapangan terbang seperti AS atau United Kingdom (UK) bagi meningkatkan ketelusan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pengurusan kanan JIM yang ingin memperkenalkan reformasi proses kerja serta penyampaian perkhidmatan menyeluruh yang terkini.

MCW berpandangan, dalam usaha mengurangkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, hukuman atau tindakan tatatertib yang lebih tegas wajar dilaksanakan termasuk memecat pegawai penguatkuasa serta memindahkannya ke kawasan pedalaman.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, gaji pegawai berkenaan mesti disekat sepanjang proses penyiasatan dan individu yang disyaki terlibat dalam salah laku dilarang bertugas sehingga dibuktikan tidak bersalah.

“Di Singapura, pegawai yang disyaki terlibat dalam salah laku atau rasuah diletakkan di bawah pengawasan ketat dan dipindahkan jauh daripada kawasan sensitif sehingga siasatan selesai.

“Pihak yang memberi rasuah sama ada syarikat, individu atau ejen juga mesti dihapuskan segera secara agresif bagi menghalang jenayah rasuah terus berlaku.

“Ia memberi satu mesej yang jelas bahawa rasuah tidak akan ditoleransi sama ada dalam kalangan pemberi mahupun penerima,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!