GISBH: Sikap kultus, dewakan pemimpin harus diperangi habis-habisan - Dr Maza

Dr Maza ketika menyampaikan kuliah di Masjid Alwi, Kangar pada Khamis malam. Foto Astro AWANI
Dr Maza ketika menyampaikan kuliah di Masjid Alwi, Kangar pada Khamis malam. Foto Astro AWANI
A
A
A

KANGAR - Mana-mana ajaran yang menganjurkan pengikutnya dengan sikap mengagungkan serta taat secara membuta tuli haruslah dibanteras habis-habisan.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, pendekatan sedemikian rupa akan menjerumuskan umat Islam ke arah ketaksuban yang akhirnya membodohkan fungsi akal.

Jelas beliau, yang dikenali dengan panggilan Dr Maza, doktrin seperti itu jugalah akan mewujudkan pelbagai ajaran sesat di negara ini dan menimbulkan masalah seperti mana yang berlaku pada pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

"Sikap ikut secara membuta tuli adalah kerana mereka mengkultuskan pemimpin agama dan menganggap sosok pemimpin mereka itu seorang yang suci dengan menganggap segala perkataan mereka adalah mewakili Tuhan.

"Inilah masalah yang ada dalam GISBH dan juga sebenarya ada dalam sebahagian kelompok ajaran tarekat di negara ini," katanya ketika menyampaikan kuliah di Masjid Alwi, Kangar pada Khamis malam.

Bahkan katanya, sebahagian ibadat yang dilakukan oleh kelompok tersebut bukan lagi mengingatkan diri mereka kepada ALLAH tetapi kepada guru atau pemimpin mereka.

Dengan itu jelas Dr Maza, lama-kelamaan ia bukan sahaja akan menyimpang daripada ajaran agama sebenar malah akan mudah dimanipulasi demi kepentingan peribadi pemimpin mereka itu.

"Ada dalam kalangan mereka sudah diasuh sejak kecil untuk memanggil nama pemimpin mereka jika berada dalam kesusahan. Mereka telah lupa untuk meminta kepada ALLAH sepertimana yang diajarkan oleh Islam.

Artikel Berkaitan:

"Demikian juga apa yang berlaku dalam aliran tarekat Naqsyabandiah yang tidaklah jauh daripada apa yang ada dalam GISBH itu," katanya lagi.

Pengikut-pengikut daripada aliran seperti itu, jelas Dr Maza, tidak lagi mampu berfikir atau bertanya kewajaran sesuatu perkara yang dilakukan oleh pemimpin mereka apatah lagi untuk membantah setiap arahan atau ajaran yang dilontarkan.

Justeru, pemikiran seperti itu harus diperangi habis-habisan untuk mencegah perkara sebegitu daripada berulang atau menular ke dalam masyarakat di negara ini.

Dalam masa yang sama juga Dr Maza turut mempersoal tentang siapakah yang sebenarnya berada di belakang GISBH selama ini sehinggakan pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) gagal mengesan segala perniagaan mereka untuk dikenakan cukai yang sepatutnya.

Jelasnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku malah tentu sekali ia menjadi isu besar memandangkan perniagaan yang dijalankan oleh entiti berkenaan bukannya sedikit.

"Kebiasaannya, kalaulah kita yang tidak berniaga inipun, iaitu makan gaji, dikenakan kawalan pemotongan cukai yang begitu ketat bahkan dikejar oleh LHDN andainya gagal melakukanya, bagaimana mungkin GISBH yang memiliki begitu banyak perniagaan boleh terlepas selama bertahun-tahun?

"Ini sudah tentunya menimbulkan persoalan yang besar, siapakah sebenarnya yang berada di belakang mereka hingga LHDN tidak mampu berfungsi sepertimana sepatutnya?" katanya. - Awani

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!