Kepengerusian ASEAN: Malaysia pastikan pertumbuhan kukuh ekonomi digital

Anwar Ibrahim. Foto Bernama
Anwar Ibrahim. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan memastikan pertumbuhan ekonomi digital yang pesat di seluruh 10 negara anggota ASEAN apabila negara ini mengambil alih jawatan pengerusi tahun depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Malaysia kekal menumpukan usaha untuk memperkukuh rangka kerja keselamatan siber, meningkatkan kerjasama serantau berkaitan ancaman digital dan mengekalkan pertumbuhan rancak ekonomi digital dalam rantau ini.

"Menerusi kepimpinan Malaysia, negara ini akan mendorong lebih banyak kerjasama dalam kalangan negara ASEAN untuk mengharmonikan dasar digital, menyeragamkan peraturan dan menambah baik aliran data rentas sempadan.

"Ini akan meletakkan ASEAN sebagai (wilayah) ekonomi digital terpadu," kata beliau ketika berucap di majlis makan malam penghargaan Amazon Web Services Malaysia, di sini malam ini.

Anwar juga berkata, Kerajaan Madani sedang melaksanakan langkah penting untuk memastikan operasi pusat data yang mampan dengan garis panduan mengenai penggunaan tenaga dan air serta pengurusan pelepasan karbon.

"Malaysia sedang menangani kebimbangan mengenai pusat data dengan menyepadukan sumber tenaga boleh baharu dan strategi pengurusan tenaga yang maju.

"Antara inisiatif utama kami ialah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang akan membolehkan syarikat korporat mengakses elektrik hijau melalui sistem grid terbuka. Ini akan membolehkan penjana tenaga boleh baharu pihak ketiga membekalkan kuasa melalui grid nasional,” kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan juga menggalakkan kerjasama antara peserta pusat data dan perniagaan tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), universiti dan institusi penyelidikan melalui Program Pembangunan Vendor untuk memacu inovasi.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, kerajaan juga menantikan kerjasama seterusnya dengan Amazon Web Services, dan berharap syarikat itu akan lebih menumpukan kepada usaha membangunkan pekerja berkemahiran tinggi dalam bidang digital. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!