Imbuhan berbaloi dengan pengorbanan
LIMA beregu negara mengutip hampir RM1.8 juta hasil hadiah kemenangan selepas mengungguli kejohanan Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam tempoh sebulan.
Ia melibatkan empat kejohanan bermula Terbuka Jepun berstatus Super 750 dari 20 hingga 25 Ogos, disusuli Terbuka Korea (Super 500) dari 27 Ogos hingga 1 September, Terbuka Hong Kong (Super 500) bermula 11 hingga 15 September dan Terbuka China (Super 1000) dari 17 hingga 22 September.
Beregu lelaki profesional, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei memimpin tangga teratas menerusi habuan keseluruhan RM886,817 melibatkan kejuaraan pada Terbuka China pada Ahad menerusi habuan RM622,361 dan sebelum itu RM264,456 selepas mengungguli Terbuka Jepun.
Ia disusuli pasangan suami isteri yang bergerak secara profesional, Goh Soon Huat dan Shevon Lai yang muncul naib juara Terbuka China dan suku akhir Terbuka Hong Kong untuk mengumpul habuan RM319,667.
Kejayaan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah, sebaliknya menuntut pengorbanan besar pemain, selain semangat juang tinggi dan kerja keras secara berterusan.
Bekas pemain negara, Roslin Hashim menyifatkan imbuhan yang ditawarkan oleh BWF amat lumayan dalam usaha badan induk badminton dunia itu menggalakkan para pemain menyertai lebih banyak kejohanan dan merangkul kejuaraan.
"Berbaloi imbuhan yang diperoleh oleh Nur Izzuddin-Sze Fei menerusi usaha bersungguh-sungguh, tinggalkan keluarga dan komitmen mereka ketika latihan.
"Bagi seorang pemain, dia akan berasa puas dengan kejayaan bergelar juara dan ditambah pula dengan hadiah yang lumayan," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Nur Izzuddin-Sze Fei yang bergerak secara profesional sejak 1 September lalu menerima tajaan daripada Victor.
Difahamkan segala perbelanjaan mereka melibatkan penginapan dan tiket kapal terbang selain kelengkapan sukan disediakan oleh penaja.
Malah Roslin juga melihat kejayaan yang diraih pasangan negara itu membuka peluang buat mereka untuk menerima penajaan baharu.
"Menerusi dua gelaran yang diperoleh, mungkin ada penaja yang akan datang. Cuma mereka perlu konsisten di gelanggang," katanya.
Roslin juga berharap imbuhan yang peroleh itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk masa depan mereka bersama keluarga.
"Berhemah dalam berbelanja dan saya percaya mereka bijak menggunakannya demi kebaikan diri dan keluarga pada masa akan datang," katanya.
Beregu wanita di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Pearly Tan-M Thinaah pula berada di kedudukan ketiga menerusi hadiah berjumlah RM229,487 selepas menjuarai terbuka Hong Kong dan naib johan pada Terbuka Korea Selatan.
Satu lagi beregu campuran negara iaitu Chen Tang Jie dan Toh Eee Wei pula mengumpul jumlah pungutan RM214,461 hasil kejuaraan Terbuka Korea, separuh akhir Terbuka Hong Kong, Pusingan 16 Terbuka China dan suku akhir Terbuka Jepun.
Beregu lelaki, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin juga membawa pulang RM129,684 susulan kejayaan mereka melangkah ke separuh akhir Terbuka China, manakala dan Terbuka Jepun tersekat pada pusingan kedua.
Mereka akan berehat pada minggu ini sebelum menyambung perjuangan di Eropah sebelum kembali semula ke Asia Timur.
Akhir sekali jika layak, mereka akan turun beraksi dalam Jelajah Dunia Akhir (WTF) di China akhir tahun ini yang menawarkan hadiah lebih lumayan RM834,672 buat juara perseorangan dan RM876,405 bagi juara beregu.
Layak ke WTF sudah dapat habuan RM62,600 bagi perseorangan dan RM73,028 bagi beregu kerana ia adalah imbuhan bagi yang menduduki tempat keempat dalam kumpulan (empat pemain setiap kumpulan).
Layak ke semi final (pertama dan kedua kumpulan) akan menerima RM208,000 bagi kedua-dua perseorangan dan beregu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!