Anak-anak jangan lupa awasi OKB di rumah
BOLEH dikatakan hampir setiap hari kita didedahkan dengan pelbagai kes penipuan yang melibatkan kerugian wang tunai atau lebih mudah difahami sebagai scam.
Bagaimanapun kejadian ditipu scammer ini masih tetap berlaku dan seakan tiada kesudahannya.
Namun apa yang menarik perhatian penulis ialah kejadian penipuan melibatkan pesara makin banyak disiarkan di media.
Pesara ini boleh dikategorikan sebagai orang kaya baharu (OKB) kerana menerima wang persaraan sebagai penjawat awam mahupun swasta.
Jadi golongan ini memiliki wang yang banyak dan sudah pasti menjadi buruan si scammer.
Baru-baru ini penulis berkesempatan menonton perbincangan yang disiarkan di sebuah rangkaian televisyen berkaitan isu scammer ini.
Ada penonton yang menceritakan pengalaman mereka pernah dihubungi scammer dengan menggunakan pelbagai taktik.
Mangsa ini dihubungi kononnya daripada mahkamah, ada juga yang dihubungi ‘pegawai polis’ dan ada juga yang mengakui dihubungi ‘pegawai’ dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagaimanapun, semua panggilan itu mempunyai satu tujuan iaitu mahu orang yang dihubungi itu memindahkan wang ke dalam akaun lain bagi tujuan siasatan kerana dikatakan terlibat dengan kegiatan jenayah.
Bagi individu yang mudah percaya, pasti dengan senang akan ditipu dan mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.
Terdetik di hati penulis kenapa begitu mudahnya kita ditipu. Perkara ini bukanlah perkara baharu namun masih tetap berlaku walaupun banyak pendedahan dilakukan di media dan sebagainya.
Pada Selasa, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan hampir RM50 juta kerugian dialami pesara yang diperdaya sindiket phone scam direkodkan sepanjang 2023 sehingga Ogos lalu dengan secara keseluruhan sejumlah 4,713 kes direkodkan.
Beliau berkata, ia membabitkan 3,027 kes sepanjang tahun lalu dan 1,686 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Kemudian pada hari sama dalam kejadian di Johor Bahru, polis mendedahkan seorang pesara kerajaan kerugian RM1.24 juta selepas mendakwa terperdaya dengan pelaburan saham pratawaran awam permulaan (IPO) pada awal Jun lepas. Lelaki berusia 70 tahun itu terlihat iklan pelaburan saham IPO di Facebook yang menawarkan keuntungan tinggi pada kadar segera.
Sebelum itu pada 2 September di Shah Alam, seorang pesara bank wanita rugi RM1.98 juta dijerat sindiket love scam selepas berkenalan dengan penjenayah di media sosial. Mangsa berusia 64 tahun itu telah diminta untuk menebus parcel sebelum diarah memasukkan wang ke 12 akaun tidak dikenali.
Contoh kes ini hanya sedikit sahaja daripada beribu kes penipuan melibatkan scammer ini yang berlaku di seluruh negara.
Ikut nasihat elak terjerat
Dalam era digital yang semakin berkembang, penipuan scammer menjadi satu ancaman besar kepada pengguna terutamanya kepada warga emas.
Menurut info yang disiarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, orang ramai dicadangkan menggunakan konsep ‘3T’ iaitu Tanya, Teliti, Tidak Tamak.
Langkah pertama adalah sentiasa bertanya. Sebelum melakukan sebarang transaksi, pastikan anda bertanya soalan yang relevan seperti nombor kerja pegawai yang menghubungi dan membuat semakan dengan jabatan berkaitan.
Langkah kedua sikap teliti sangat penting dalam mengelakkan penipuan.
Langkah ketiga adalah tidak tamak. Penipuan scammer sering kali berjaya kerana mangsa teruja dengan tawaran yang diberikan.
Sebagai anak-anak yang masih muda dan pastinya boleh berfikir secara waras, kita perlu selalu memantau aktiviti ibu bapa terutama bagi mereka yang bergelar OKB.
Ini bagi mengelakkan ibu bapa kita menjadi mangsa scammer dan pastinya kita tidak mahu ibu bapa kita mengalami kerugian dan kehilangan wang simpanan pekerjaan begitu sahaja.
Kesimpulannya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan scammer memerlukan kita untuk sentiasa berhati-hati. Penjenayah akan mencari peluang untuk memperdaya mangsa yang lalai dan kita harus bertindak bijak dan sentiasa berwaspada.
* Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!