Jijik dengan penindasan atas nama agama

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan GISBH tidak pernah membayar cukai perniagaan. Gambar hiasan.
Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan GISBH tidak pernah membayar cukai perniagaan. Gambar hiasan.
A
A
A

SEPERTI yang dilaporkan media, seorang bekas pekerja GISBH mendakwa tidak pernah menerima gaji sepanjang tempoh 10 tahun bekerja dengan syarikat itu.

Berdasarkan dakwaan pekerja itu, pada peringkat awal terdapat satu sistem digunakan syarikat bagi membayarnya antara RM50 dan RM100 seminggu.

Katanya, kaedah bayaran itu bagaimana pun berubah selepas 2014 apabila dia yang bekerja sepenuh masa hanya diberi makan dan tempat tinggal. Tiada langsung gaji.

Dia yang telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Buruh berjaya memperoleh pampasan lebih RM23,000.

Katanya, ada rakan-rakan lain yang mengalami nasib sama tidak dibayar gaji tapi hanya mendiamkan diri kerana taasub dengan doktrin yang telah ditanam kepimpinan pertubuhan itu.

Ia berikutan setiap ahli GISBH dipaksa mencari dana untuk memenuhkan tabung jemaah atau syarikat, walaupun perlu bekerja sepenuh masa tanpa dibayar gaji.

Pertubuhan itu juga didakwa mengamalkan sistem perhambaan dalam menjalankan operasi perniagaan.

Ramai juga ahli pertubuhan itu dizalimi dengan orang atasan menjalani kehidupan dengan rumah dan kereta mewah, manakala bawahan mahu berjumpa pasangan pun terpaksa menunggu giliran dan diaturkan.

Artikel Berkaitan:

Ada juga yang terpaksa meminjam dengan ahli keluarga apabila perniagaan mengalami kerugian.

Dan pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan GISBH tidak pernah membayar cukai perniagaan.

Ia susulan laporan yang diberikan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika siasatan yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Jika dua elemen utama iaitu gaji pekerja tidak dilunaskan dan cukai pun tidak dibayar kepada kerajaan, maka sungguh untung perniagaan seumpama itu.

Tidak ada mana-mana majikan mampu untuk meniru model seumpama itu kerana ia mustahil untuk dilaksanakan.

Maka, tindakan segera oleh PDRM dalam membongkar kegiatan itu seharusnya disokong agar tiada lagi mana-mana pihak menjadi mangsa kepada sistem yang menindas orang lain atas nama agama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!