Angka korban di Gaza melebihi 41,500

Tentera Israel membunuh 39 orang dan mencederakan 86 yang lain dalam empat pembunuhan beramai-ramai keluarga dalam tempoh 24 jam yang lepas. Gambar fail AFP
Tentera Israel membunuh 39 orang dan mencederakan 86 yang lain dalam empat pembunuhan beramai-ramai keluarga dalam tempoh 24 jam yang lepas. Gambar fail AFP
A
A
A

ANKARA - Sekurang-kurangnya 39 lagi warga Palestin terbunuh dalam serangan tanpa henti oleh Israel di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak 7 Oktober 2023 mencecah 41,534 orang, lapor Agensi Anadolu yang memetik kenyataan Kementerian Kesihatan di wilayah bergolak itu pada Khamis.

Kenyataan kementerian itu juga menyatakan bahawa seramai 96,092 orang cedera dalam serangan yang masih berterusan.

"Tentera Israel membunuh 39 orang dan mencederakan 86 yang lain dalam empat pembunuhan beramai-ramai keluarga dalam tempoh 24 jam yang lepas," kata kementerian itu.

"Ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalanan kerana penyelamat tidak dapat sampai kepada mereka," katanya.

Meskipun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menyeru gencatan senjata segera, Israel terus melancarkan serangan tanpa henti di Semenanjung Gaza selama hampir setahun sejak 7 Oktober.

Serangan itu telah menyebabkan hampir seluruh penduduk wilayah berkenaan terpaksa berpindah, sementara sekatan yang masih berjalan mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang teruk.

Israel turut berdepan tuduhan melakukan genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakannya di Gaza.


Lubnan lapor 1,540 terbunuh akibat serangan Israel sejak Oktober

Artikel Berkaitan:

BEIRUT - Lubnan pada Khamis melaporkan bahawa jumlah kematian akibat serangan Israel di seluruh negara meningkat kepada 1,540 sejak Oktober lalu, lapor Agensi Anadolu

Unit Pengurusan Risiko Bencana dalam satu laporan menyatakan, jumlah yang cedera kini mencecah 5,410 dan jumlah individu yang dipindahkan dan didaftarkan di pusat perlindungan rasmi meningkat kepada 77,100 sehingga petang Rabu.

Laporan itu menyebut pusat perlindungan di kemudahan awam meningkat kepada 565 termasuk sekolah awam, kompleks pendidikan, institut vokasional dan pusat pertanian.

Ribuan lagi telah meninggalkan negara itu menyeberangi wilayah Lubnan ke Syria, dan agensi itu menganggarkan jumlah sebenar jauh melebihi kiraan rasmi.

Kenyataan itu turut menunjukkan bahawa dalam tempoh dua hari lalu, Keselamatan Am mendaftarkan perjalanan 15,600 warga Syria dan 16,130 warga Lubnan ke wilayah Syria.

Mengenai serangan Israel, laporan itu turut menyatakan bahawa sejak Isnin lalu, terdapat 7,034 serangan udara atau pengeboman, 248 serangan bom fosforus dan 133 insiden tembakan.

Israel menyerang Lubnan sejak awal Isnin dan mengorbankan sekurang-kurangnya 677 mangsa dan mencederakan lebih 2,500 orang, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Kumpulan penentang Lubnan, Hizbullah, dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza, yang menyebabkan lebih 41,500 korban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak pada 7 Oktober lalu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!