HDC rangka insentif baharu galak pelaburan industri halal


INSENTIF yang bakal dimuktamadkan itu akan membantu pengendali taman industri halal untuk meningkatkan infrastruktur, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu bagi memastikan daya saing terpelihara. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
INSENTIF yang bakal dimuktamadkan itu akan membantu pengendali taman industri halal untuk meningkatkan infrastruktur, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu bagi memastikan daya saing terpelihara. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
A
A
A

HALAL Development Corporation (HDC) sedang merangka dan mengkaji untuk memperkenalkan insentif baharu bagi menggalakkan pelaburan asing dalam sektor industri halal.

Usaha itu dilakukan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengerusi HDC, Khairul Azwan Harun berkata, insentif yang akan dimuktamadkan melalui Majlis Pembangunan Industri Halal pada tahun ini turut menggalakkan pelaburan domestik ke dalam taman industri halal sedia ada termasuk yang bakal dibuka.

"Kita ingin menyediakan tapak bagi taman-taman industri halal baharu dengan sistem infrastruktur yang kondusif untuk pelabur asing dan tempatan, antaranya melalui penggunaan tenaga boleh baharu.

"Banyak syarikat terutamanya multinasional ingin memenuhi keperluan dan tuntutan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Oleh itu, mereka perlu menggerakkan operasi kilang dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

KHAIRUL AZWAN -Foto: Bernama
KHAIRUL AZWAN -Foto: Bernama

Menyentuh tentang cabaran dalam kerangka baharu yang sedang dikaji bersama MITI dan MIDA, Khairul Azwan berkata, antara perkara utama yang sedang dianalisis dan diatasi adalah tahap kesediaan infrastruktur taman-taman industri baharu itu mampu menawarkan nilai tambah kepada pelabur.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau turut menekankan bahawa pelabur asing dan syarikat multinasional yang ingin masuk ke Malaysia bukan hanya melihat kepada infrastruktur taman industri, tetapi juga rantaian bekalan bahan mentah iaitu sejauh mana bahan tersebut tersedia di Malaysia.

"Jika mereka ingin menghasilkan produk tertentu tetapi terpaksa mengimport bahan mentah dari negara asal mereka seperti China, kosnya akan meningkat kerana (syarikat) perlu mengimport bahan itu ke Malaysia.

"Usaha terbaik ialah menarik pelabur asing terutama dari China untuk membuka kilang bahan mentah di sini,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan kepentingan mencari pengeluar bahan mentah untuk membuka kilang di Malaysia.

Dengan ketersediaan bahan di Malaysia, syarikat multinasional dan pelabur domestik tidak lagi perlu mengimport bahan tersebut dari luar negara.

Katanya, insentif yang bakal dimuktamadkan ini juga akan membantu pengendali taman industri halal yang perlu meningkatkan infrastruktur, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu bagi memastikan daya saing terpelihara.

Ia juga akan menawarkan infrastruktur baharu mesra teknologi hijau yang mampan, sokongan kewangan, pelepasan cukai dan pembangunan infrastruktur bagi menarik perniagaan tempatan dan antarabangsa. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!