Bank Islam, Nomura kerjasama tawar enam produk pelaburan patuh syariah

Sarah (dua dari kiri) dan Leslie Yap (kanan) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan Nomura di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bank Islam Malaysia Berhad
Sarah (dua dari kiri) dan Leslie Yap (kanan) ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Bank Islam dan Nomura di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto Bank Islam Malaysia Berhad
A
A
A

BANK Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menjalinkan kerjasama strategik dengan firma pengurusan aset global, Nomura Asset Management Malaysia (Nomura) bagi memperluaskan penawaran enam produk pelaburan patuh syariah.

Enam produk tersebut ialah Dana Ekuiti Semikonduktor Syariah Global Nomura, Dana Ekuiti Lestari Syariah Global Nomura, Dana Pertumbuhan Strategik Syariah Global Nomura, Dana i-Income Nomura, Dana i-Cash Nomura dan Dana i-Income Nomura 2.

Pengarah Pengurusan Kekayaan Bank Islam, Datin Sarah Muttalib berkata, Nomura selari dengan nilai-nilai bank tersebut iaitu kelestarian dan amalan beretika berasaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Sebagai bank pemacu kemakmuran, kami komited dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang inovatif dan relevan untuk pelanggan.

“Kami (Bank Islam dan Nomura) berhasrat untuk menawarkan penyelesaian pelaburan inovatif yang memenuhi aspirasi kewangan pelanggan serta memberi sumbangan positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sarah turut memaklumkan, pihaknya menawarkan perkhidmatan kewangan yang komprehensif mengikut keperluan pelanggan, malah portfolionya melangkaui Pelaburan Amanah Saham termasuk Dana Patuh Syariah Nomura, Perlindungan Takaful, Perancangan Harta Pusaka, Produk Pasaran Modal dan lain-lain.

Tambah beliau, Bank Islam juga memperkenalkan Perbankan Kekayaan Premier khas untuk pelanggan yang mencari tahap kepakaran tinggi.

“Pelanggan bakal memperoleh manfaat daripada nasihat kewangan peribadi, perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan sokongan khusus oleh pengurus hubungan bagi membantu mencapai matlamat kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Tawaran Pengurusan Kekayaan Islam kami berteraskan konsep 'Dari Buaian ke Akhirat' yang inklusif bagi memenuhi keperluan pelanggan beragama Islam dan bukan Islam.

“Kami berdedikasi untuk meningkatkan peluang buat pelabur tempatan dengan memperluaskan akses kepada pilihan pelaburan patuh syariah dan memperkasakan mereka untuk membuat keputusan kewangan bermaklumat serta beretika,“ ujar Sarah lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Perniagaan Negara bagi Nomura Malaysia, Leslie Yap berkata, dengan Bank Islam, pihaknya mampu memperluaskan capaian yang lebih luas seiring peningkatan permintaan terhadap dana patuh syariah dan mampan dalam kalangan pelabur.

“Sebagai rakan kerjasama ideal untuk mengagihkan dana kami, bank terbabit memiliki pengalaman luas dalam industri kewangan Islam dan rangkaian pengedaran yang kukuh,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!