PKNS bantu usahawan sertai ekspo peringkat antarabangsa

PENGASAS Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Mamarai Ventures Sdn Bhd, Yussahril Ismail mempromosikan produknya yang dijual di pavilion PKNS sewaktu pameran MIHAS di ibu kota baru-baru ini. -Foto: PKNS
PENGASAS Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Mamarai Ventures Sdn Bhd, Yussahril Ismail mempromosikan produknya yang dijual di pavilion PKNS sewaktu pameran MIHAS di ibu kota baru-baru ini. -Foto: PKNS
A
A
A

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan lebih RM500,000 tahun ini bagi membantu usahawan berpotensi menyertai ekspo peringkat antarabangsa di dalam negara untuk mengembangkan perniagaan.

Ini termasuklah penyertaan dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan, PKNS memaklumkan, sebanyak 14 usahawan di bawah bimbingan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS menyertai MIHAS 2024 di pavilion PKNS berjaya menarik perhatian ramai pengunjung sejak pameran itu bermula.

"Kesemua usahawan yang berada di dalam sektor makanan dan minuman (F&B) itu diketengahkan di MIHAS sebagai langkah memperkenalkan produk mereka bagi melihat potensi ke arah mengembangkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan eksport dan menembusi pasaran global,” katanya.

Antara syarikat yang terpilih untuk berada di bawah pavilion PKNS di MIHAS tahun ini ialah Jaqued Holdings Sdn Bhd dan My Innovative Wellness Sdn Bhd.

Penyertaan dalam pameran tersebut adalah langkah tepat untuk meluaskan rangkaian perniagaan melalui kerjasama antarabangsa khususnya bagi sektor halal.

Penyertaan dalam MIHAS ini juga memberi peluang kepada usahawan PKNS untuk menyertai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) iaitu program padanan perniagaan antara pengeksport Malaysia dan pembeli antarabangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!