Tun Abdullah terima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara

ANWAR (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara kepada anak bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Kamaluddin Abdullah (tiga dari kiri) yang mewakili bapanya pada upacara perasmian MIHAS 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
ANWAR (tiga dari kanan) menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara kepada anak bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Kamaluddin Abdullah (tiga dari kiri) yang mewakili bapanya pada upacara perasmian MIHAS 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

SEMPENA Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam satu kenyataannya berkata, anugerah khas yang julung kali diadakan itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anak Tun Abdullah, Tan Sri Kamaluddin Abdullah yang mewakili bapanya pada upacara perasmian MIHAS 2024.

"Tun Abdullah dipilih untuk menerima anugerah khas itu atas peranannya mewujudkan ekosistem yang kukuh dalam meletakkan posisi industri halal Malaysia pada tahap kualiti dan kepercayaan global.

"Kini industri halal menjadi antara sektor paling pesat berkembang dengan nilai pasaran globalnya dijangka mencecah AS$5 trilion (RM21 trilion) menjelang 2030,” menurutnya.

Menjangkau usia 50 tahun, industri halal di negara ini bermula apabila kerajaan mula mengeluarkan surat-surat pengesahan halal kepada pengilang yang memenuhi kehendak syarak dan Malaysia menjadi negara pertama mewujudkan piawaian itu dan menjadi rujukan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Katanya, pembangunan industri halal berkenaan dipelopori oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Di bawah pentadbiran Tun Abdullah, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif ekonomi berkaitan halal termasuk MIHAS pada 2004 dan menubuhkan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) pada 2006. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!