Dua vesel tempatan, 19 nelayan asing ditahan Maritim
PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) bersama 19 nelayan warga asing dalam dua serbuan berasingan baru-baru ini.
Tangkapan dilakukan anggota bot peronda milik agensi tersebut yang melaksanakan rondaan dalam Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.
Pengarahnya, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, vesel pertama ditahan pada Rabu lalu di kedudukan lebih kurang 5.5 batu nautika, timur Pulau Perhentian Besar pada jam 3.40 pagi kerana melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang dari yang dibenarkan.
"Kesemua 18 kru berusia 24 hingga 55 tahun itu juga didapati memiliki permit kerja yang meragukan. Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
"Sementara itu vesel kedua pula ditahan di Muara Tok Bali pada jam 4.20 pagi 19 September lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, ketika ditahan, seorang tekong warganegara Kemboja berusia 29 tahun didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan dan tidak dapat mengemukakan lesen vesel ketika diminta.
Ujarnya, tekong terbabit juga gagal ujian saringan awal air kencing apabila didapati positif dadah jenis amphetamine dan disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Erwan Shah memberitahu, kesemua vesel berkenaan kemudiannya dibawa ke jeti Maritim Malaysia Kelantan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
"Kami menasihatkan semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!