Industri halal bukan sekadar penuhi keperluan agama

Selami peluang, cabaran dalam mencapai matlamat sebagai peneraju halal global


INDUSTRI halal tidak terhad kepada sektor makanan sahaja, tetapi meliputi pelbagai bidang lain seperti kosmetik, farmaseutikal, logistik dan perkhidmatan kewangan. -Gambar kecil: DR HASIM (kanan, atas) & DR ROSSIDI
INDUSTRI halal tidak terhad kepada sektor makanan sahaja, tetapi meliputi pelbagai bidang lain seperti kosmetik, farmaseutikal, logistik dan perkhidmatan kewangan. -Gambar kecil: DR HASIM (kanan, atas) & DR ROSSIDI
A
A
A

INDUSTRI halal di Malaysia berkembang pesat sepanjang beberapa dekad terakhir, menjadikannya antara sektor paling berpotensi dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Dengan Dasar Halal Negara 2025-2035 dan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) sebagai landasan, Malaysia berhasrat untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju industri halal global.

Bagi mencapai matlamat itu, terdapat peluang besar yang perlu dimanfaatkan dan beberapa cabaran yang perlu diatasi oleh pihak kerajaan dan pemain industri.

Membutirkan tentangnya, halal bukan sekadar soal pematuhan syariah bagi umat Islam, tetapi kini menjadi satu agenda nasional yang melibatkan pelbagai aspek pengurusan halal seperti perundangan, pensijilan, teknologi, inovasi, penyelidikan dan pandangan hukum serta fatwa.

SELAIN produk berkualiti, pembangunan modal insan juga penting bagi memastikan Malaysia terus relevan dalam persaingan global dan mampu menawarkan produk serta perkhidmatan halal yang berkualiti serta inovatif. -Foto: Canva
SELAIN produk berkualiti, pembangunan modal insan juga penting bagi memastikan Malaysia terus relevan dalam persaingan global dan mampu menawarkan produk serta perkhidmatan halal yang berkualiti serta inovatif. -Foto: Canva

Kejayaan Malaysia dalam menerajui industri halal bermula dengan penubuhan Majlis Halal Malaysia (MHM) pada 2016 yang ditugaskan untuk mengkoordinasikan inisiatif dan pembangunan industri halal di negara ini.

Penubuhan MHM merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh ekosistem halal yang lebih holistik dan kondusif, seiring dengan matlamat Dasar Halal Negara 2025-2035.

Artikel Berkaitan:

Salah satu elemen utama dalam strategi itu adalah mengukuhkan sistem pensijilan halal yang bukan sahaja diiktiraf dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memainkan peranan penting dalam mempromosikan standard halal Malaysia, yang kini diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia.

Pensijilan halal Malaysia menjadi penanda aras bagi negara lain yang ingin membangunkan industri halal mereka.

Peluang ekonomi halal

Seperkara lagi, industri halal tidak terhad kepada sektor makanan sahaja, tetapi meliputi pelbagai bidang lain seperti kosmetik, farmaseutikal, logistik dan perkhidmatan kewangan.

Menjelang 2030, pasaran halal global dijangka mencecah AS$5 trilion (RM21 trilion), manakala pasaran halal domestik pula dianggarkan bernilai AS$113.2 bilion (RM475 bilion). Ia sekali gus membuka peluang besar bagi syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

USAHA lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi meningkatkan pemahaman bukan sahaja tentang pensijilan halal tetapi juga manfaatnya dari segi kualiti produk, keselamatan makanan dan kepentingan alam sekitar. -Foto: Canva
USAHA lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi meningkatkan pemahaman bukan sahaja tentang pensijilan halal tetapi juga manfaatnya dari segi kualiti produk, keselamatan makanan dan kepentingan alam sekitar. -Foto: Canva

Apatah lagi Malaysia mempunyai ekosistem dan rangka kerja terbaik untuk memanfaatkan potensi ekonomi halal termasuklah sistem pensijilan, standard, akreditasi dan perkhidmatan sokongan halal yang mantap memastikan integriti rantaian bekalan halal dari awal hingga ke akhir.

Sebagai contoh, perkhidmatan logistik khusus memastikan produk halal dari ladang ke meja pengguna bebas daripada pencemaran silang. Teknologi seperti Revolusi Industri Keempat, Internet of Things (IoT), blockchain, FinTech dan data raya juga mula diterapkan dalam memastikan ketelusan serta kecekapan dalam rantaian bekalan halal.

Selain itu, HIMP 2030 juga menyasarkan pembangunan modal insan yang dapat menyokong industri halal melalui latihan dan pendidikan. Ia termasuk melatih generasi baharu pengusaha menggunakan teknologi moden untuk mencipta inovasi halal dan memperkukuhkan kefahaman tentang pematuhan syariah dalam perniagaan.

Pembangunan modal insan itu penting bagi memastikan Malaysia terus relevan dalam persaingan global dan mampu menawarkan produk serta perkhidmatan halal yang berkualiti serta inovatif.

Kekangan dan cabaran

Walaupun terdapat banyak peluang dalam industri halal, namun masih terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Salah satu cabaran utama adalah mendapatkan pensijilan halal terutamanya bagi perusahaan mikro dan kecil (PMK).

HALAL bukan sekadar soal pematuhan syariah bagi umat Islam, tetapi kini menjadi satu agenda nasional yang melibatkan pelbagai aspek pengurusan halal seperti perundangan, pensijilan, teknologi, inovasi, penyelidikan dan pandangan hukum serta fatwa. -Foto: Canva
HALAL bukan sekadar soal pematuhan syariah bagi umat Islam, tetapi kini menjadi satu agenda nasional yang melibatkan pelbagai aspek pengurusan halal seperti perundangan, pensijilan, teknologi, inovasi, penyelidikan dan pandangan hukum serta fatwa. -Foto: Canva

Menurut Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), lebih 76 peratus syarikat berdaftar di Malaysia adalah PMK, tetapi ramai di antara mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pensijilan halal kerana kos yang tinggi dan prosedur yang rumit.

Oleh itu, Jakim disarankan untuk membuat penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan bagi mempermudahkan prosedur itu termasuk yang lebih mesra PMK.

Selain itu, cabaran dalam mempromosikan kesedaran mengenai produk halal juga wujud terutamanya dalam kalangan pengguna bukan Islam.

Meskipun banyak kajian menunjukkan bahawa logo dan status halal boleh menjadi alat pemasaran yang berkesan, pengguna masih bersikap skeptikal terhadap pensijilan halal.

Oleh itu, usaha lebih menyeluruh perlu dilakukan bagi meningkatkan pemahaman bukan sahaja tentang pensijilan halal tetapi juga manfaatnya dari segi kualiti produk, keselamatan makanan dan kepentingan alam sekitar.

Dari sudut pandang global, persaingan dalam industri halal semakin sengit terutamanya dengan negara-negara seperti Arab Saudi, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu yang giat membangunkan industri halal mereka.

Malaysia perlu terus berinovasi dalam memastikan produk dan perkhidmatan halal yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi standard syariah, tetapi juga berdaya saing dari segi harga serta kualiti.

Dalam hal itu, penggunaan teknologi seperti blockchain dan IoT boleh membantu dalam meningkatkan ketelusan dan keyakinan pengguna terhadap produk halal Malaysia.

Sememangnya Malaysia berada di landasan yang tepat untuk terus menerajui industri halal global dengan strategi jangka panjang seperti Dasar Halal Negara 2025-2035 dan HIMP 2030.


MALAYSIA perlu terus berinovasi dalam memastikan produk dan perkhidmatan halal yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi standard syariah, tetapi juga berdaya saing dari segi harga serta kualiti dengan menggunakan teknologi terkini. -Foto: Canva
MALAYSIA perlu terus berinovasi dalam memastikan produk dan perkhidmatan halal yang ditawarkan bukan sahaja memenuhi standard syariah, tetapi juga berdaya saing dari segi harga serta kualiti dengan menggunakan teknologi terkini. -Foto: Canva

Dengan usaha berterusan untuk membangunkan modal insan, memperkukuhkan rangkaian rantaian bekalan halal dan menggalakkan inovasi melalui teknologi moden, Malaysia akan kekal sebagai ‘jaguh halal’ yang dihormati serta menjadi penanda aras bagi negara-negara lain.

Industri halal adalah lebih daripada sekadar memenuhi keperluan agama dan satu aset strategik negara yang boleh menjana pertumbuhan ekonomi berdaya tahan dan inovatif, sekali gus mengukuhkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri halal global.

*Artikel ditulis oleh Dr Hashim Ahmad Shiyuti, Pensyarah Pusat Tahmidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) & Dr Rossidi Usop, Pensyarah Kanan USIM

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!