Halau Israel keluar daripada PBB

Bagi menjayakan cadangan untuk menyingkirkan Israel daripada PBB, masyarakat antarabangsa perlu mengetepikan segala perbezaan kecil dengan bekerjasama dan bersatu. Gambar kecil: Muzaffar Syah
Bagi menjayakan cadangan untuk menyingkirkan Israel daripada PBB, masyarakat antarabangsa perlu mengetepikan segala perbezaan kecil dengan bekerjasama dan bersatu. Gambar kecil: Muzaffar Syah
A
A
A

SHAH ALAM - Israel perlu dihalau keluar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan segera susulan penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin yang berlanjutan lebih 70 tahun.

Pakar undang-undang dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, langkah penyingkiran rejim Zionis itu selaras dengan peruntukkan peraturan yang terdapat dalam Piagam PBB.

“Perkara 6 Piagam PBB 1945 menyatakan dengan jelas bahawa ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang berterusan melanggar prinsip yang terkandung dalam piagam ini boleh dibuang daripada pertubuhan melalui perhimpunan agung atas syor majlis keselamatan.

“Sehubungan itu, satu usaha bersepadu perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghalau Israel daripada PBB yang berperanan sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa paling penting sewaktu pasca Perang Dunia Kedua (1939–1945),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Seramai 41,391 rakyat Palestin terbunuh, dengan lebih 95,760 lagi cedera akibat serangan Israel sejak Oktober 2023. Foto AFP
Seramai 41,391 rakyat Palestin terbunuh, dengan lebih 95,760 lagi cedera akibat serangan Israel sejak Oktober 2023. Foto AFP

Serangan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023 mengakibatkan 41,391 rakyat Palestin terbunuh, dengan lebih 95,760 lagi cedera.

Selain itu, ribuan mangsa dipercayai terperangkap di bawah runtuhan yang tidak dapat diakses oleh pasukan kecemasan dan pertahanan awam akibat serangan Israel.

Mengulas lanjut, Muzaffar memberitahu bahawa usaha penyingkiran berkenaan akan memberi satu isyarat jelas kepada Israel untuk tidak meneruskan segala penindasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

“Perlu diingatkan bahawa Israel banyak terhutang budi kepada PBB sewaktu penubuhan negara itu pada tahun 1948.

“Ini kerana, PBB telah memutuskan untuk membahagikan daerah mandat British di Palestin dengan membenarkan kewujudan negara Israel, namun sejak penubuhan itu pelbagai masalah ditimbulkan oleh Israel terutamanya terhadap rakyat Palestin,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan itu.

Menurut Muzaffar, bagi menjayakan cadangan untuk menyingkirkan Israel daripada PBB, masyarakat antarabangsa perlu mengetepikan segala perbezaan kecil dengan bekerjasama dan bersatu.

“Dengan adanya usaha penyingkiran Israel daripada PBB, seluruh negara dunia dapat memberi pengajaran serta memaksa mereka (Israel) untuk mengubah perangai buruk yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Ia sekurang-kurangnya memberi isyarat jelas kepada Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan itu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!