'Kami tidak akan pergi, Palestin adalah tanah air kami...'

Mahmoud Abbas ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada hari ketiga Debat Umum. Foto AFP
Mahmoud Abbas ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada hari ketiga Debat Umum. Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Saat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melangkah ke podium di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada hari ketiga Debat Umum, dewan itu bergema dengan tepukan gemuruh, menunjukkan betapa beratnya mesej yang akan disampaikan sebelum beliau mula berucap.

Dalam ucapan selama 25 minit pada Khamis, Abbas menyeru supaya perang yang sedang berlangsung di Gaza dihentikan segera, menyifatkannya sebagai genosid besar-besaran.

Kata-katanya disampaikan dengan nada penuh emosi dan mendesak, menggetarkan hati bukan sahaja khalayak global tetapi juga rakyat Malaysia yang sekian lama menyokong perjuangan Palestin.

Mahmoud Abbas. Foto Reuters
Mahmoud Abbas. Foto Reuters

Deklarasi tegas Abbas, "Kami tidak akan pergi. Palestin adalah tanah air kami... jika ada yang perlu pergi, ia adalah penjajah yang merampas," katanya dengan nada yang begitu menyentuh hati dan penuh emosi.

Tidak seperti UNGA tahun lalu, yang berlangsung sebelum meletusnya perang antara Palestin dan Israel, sesi tahun ini berlaku di tengah-tengah bayangan konflik yang bermula pada 7 Oktober 2023.

Ucapan Abbas mendapat perhatian yang lebih besar disebabkan genosid yang sedang berlaku dan kesan dahsyat mengenai keganasan terhadap rakyat Palestin.

Masyarakat dunia mendengar dengan penuh teliti rayuannya untuk keadilan dan menghentikan pertumpahan darah.

Artikel Berkaitan:

Semua yang berada di dalam dewan menyaksikan UNTV, perkhidmatan penyiaran rasmi PBB, yang menyiarkan reaksi wakil Israel dan Amerika Syarikat, dengan ekspresi wajah yang kosong, berbeza dengan kecaman Abbas terhadap peranan mereka dalam meneruskan keganasan.

Suasana penuh emosi semakin terasa apabila beliau menyebut jumlah kematian di Gaza -- lebih 40,000, termasuk 15,000 kanak-kanak dalam tempoh kurang dari setahun.

"Hentikan jenayah ini. Hentikan genosid. Seluruh dunia bertanggungjawab atas apa yang sedang berlaku,” tegasnya, sementara kamera memfokuskan kepada kerusi wakil Lubnan -- satu peringatan tentang kesan konflik ini yang turut melibatkan Lubnan.

Kata-kata Abbas sejajar dengan pendirian lama Malaysia mengenai perjuangan Palestin dan tanggungjawab antarabangsa.

Beliau turut meluahkan kekecewaannya terhadap Amerika Syarikat (AS), terutamanya apabila beliau mengutuk penggunaan veto berulang kali dalam Majlis Keselamatan PBB untuk menyekat resolusi yang boleh menguatkuasakan gencatan senjata.

Ketika Abbas menggambarkan kemusnahan besar di Gaza di mana 75 peratus infrastruktur musnah, rayuannya untuk perlindungan antarabangsa terhadap rakyat Palestin mencerminkan seruan konsisten Malaysia untuk pasukan pengaman antarabangsa di rantau itu.

"Kami tidak berperang dengan Israel; kami tidak boleh melawan Israel... tetapi kami mahukan perlindungan,” kata pemimpin itu.

Seruan untuk campur tangan global terasa sangat mendesak, terutama dalam konteks sokongan Malaysia terhadap misi pengaman antarabangsa di Palestin.

Abbas turut mengecam pencerobohan Israel terhadap Lubnan, yang sekali lagi membawa fokus kamera UNTV kepada delegasi Lubnan, menonjolkan kesan mendalam terhadap konflik ini.

Ketika beliau mengakhiri ucapannya, teriakan spontan "Bebas, bebaskan Palestin!" bergema di seluruh dewan.

Kata-kata akhir Abbas merupakan penghormatan kepada ketabahan rakyat Palestin.

Beliau berkata, "Rakyat kami akan terus hidup di tanah nenek moyang mereka, seperti yang mereka lakukan selama lebih daripada 6,000 tahun."

Mesej beliau penuh dengan ketegasan dan harapan, pasti menggetarkan hati Malaysia yang sentiasa berdiri teguh dalam solidariti dengan perjuangan Palestin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!