Dua penjenayah maut ditembak polis di Pulau Pinang


Hamzah (tiga dari kanan) menunjukkan senjata dan barangan yang dirampas daripada suspek.
Hamzah (tiga dari kanan) menunjukkan senjata dan barangan yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

NIBONG TEBAL - [DIKEMAS KINI] Dua ahli sindiket pecah kilang dan pejabat yang aktif sejak 2017 akhirnya tumpas apabila dua lelaki warga Vietnam maut selepas ditembak sepasukan polis di hadapan sebuah kilang di Bukit Panchor, di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pada jam 3.20 pagi, sepasukan polis dari Bahagian D4, Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Kontinjen Pulau Pinang yang menjalankan rondaan telah terserempak dengan sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan.

Hamzah menunjukkan gambar dua suspek warga asing yang ditembak mati.
Hamzah menunjukkan gambar dua suspek warga asing yang ditembak mati.

Menurutnya, ketika polis menghampiri kenderaan tersebut, kelihatan dua lelaki keluar dari kilang tersebut lalu mengarahkan mereka berhenti untuk pemeriksaan.

"Kedua-dua suspek yang bersenjatakan parang telah bertindak menyerang menyebabkan polis telah melepaskan empat das tembakan untuk mempertahankan diri. Kedua-dua suspek yang berusia 38 dan 39 tahun bagaimanapun maut di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai dua bilah parang dan pelbagai jenis peralatan disyaki digunakan dalam kegiatan pecah rumah dan kilang," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini pada Jumaat.

Tambah Hamzah, kedua-dua suspek mensasarkan kilang atau pejabat yang mempunyai peti besi bersaiz dan menyimpan aset-aset besar untuk menjalankan kegiatan mereka itu.

"Mereka ini boleh dikatakan pakar dalam melakukan kegiatan pecah kilang dan pejabat kerana mensasarkan kilang atau pejabat besar. Premis seperti itu berpotensi untuk memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

Antara barang dan senjata yang dirampas.
Antara barang dan senjata yang dirampas.

"Kita tidak menolak ada orang dalam yang merupakan dalang kepada sindiket ini yang memberi maklumat kepada mereka. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Hamzah berkata lagi, polis percaya sindiket itu mempunyai rangkaian dari negaara sama yang masih bebas dan usaha untuk mengesan mereka sedang giat dijalankan.

"Mereka mempunyai dokumen yang sah namun ia hanya pas pelancong. Siasatan awal mendapati, sindiket ini sering keluar masuk ke negara ini sejak beberapa tahun lalu.

"Suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala suspek kedua mempunyai enam rekod melibatkan jenayah dan dadah.

"Dengan tertumpasnya dua suspek ini, kita berjaya menyelesaikan enam kes pecah premis di Pulau Pinang dan lima kes di Kedah dengan nilai keseluruhan kerugian sebanyak RM317,700," katanya.

Ujar beliau, polis membuat kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

"Kedua-dua mayat kini berada di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya untuk mengenalpasti punca kematian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!