GISBH: Saarani menghadap Sultan Nazrin dalam masa terdekat

Saarani dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Saarani dalam sidang akhbar pada Jumaat.
A
A
A

LENGGONG - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad akan mempersembahkan perkembangan isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam masa terdekat.

Beliau berkata, isu berkenaan secara dasarnya di bawah kendalian Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mana Sultan Nazrin sebagai pengerusi.

"Saya tidak nafikan memang ada (gerakan GISBH) di negeri ini. Sama ada ia serius atau tidak, itu kita kena tunggu laporan.

"Saya sudah minta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk mengumpul maklumat dan buat laporan kerana secara kebetulan Sultan Perak adalah Pengerusi MKI yang mengendalikan isu ini.

"Sehingga laporan itu lengkap, saya akan menghadap (Sultan Perak)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Pelepasan Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng di sini pada Jumaat.

Saarani bersalaman bersama peserta Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng, Lenggong pada Jumaat.
Saarani bersalaman bersama peserta Rimba Raid Lenggong 2024 di Kampung Beng, Lenggong pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.

Saarani yang juga Exco Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC turut memaklumkan bahawa Perak tidak mahu terburu-buru dalam mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISBH sebagai sesat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebarang keputusan berkaitan itu adalah tertakluk kepada ketetapan dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Itu kena tunggu. Kita akan ikuti apa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai isu berkenaan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, sehingga Khamis, seramai 55 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah berjaya diselamatkan susulan serbuan Op Global melibatkan rumah amal kendalian GISBH di Perak.

"Kesemua mereka kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ditempatkan di institusi jabatan berkenaan," katanya.

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang sejak Selasa.

Pada 20 September, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Sejak Op Global dilaksanakan, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan dan 572 mangsa diselamatkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!