PRK Mahkota: BN berpotensi menang, tetapi berapa besar majoriti?
KLUANG - Di atas kertas, peluang calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah untuk menang pada PRK itu lebih cerah jika dibandingkan dengan lawannya.
Namun, menurut Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali, yang lebih dinanti-nantikan adalah sama ada BN dapat mengekalkan, atau lebih baik lagi, meraih majoriti yang lebih tinggi berbanding 5,166 undi yang diperoleh sebelum ini.
Ini kerana, selain faktor peratusan besar pengundi DUN Mahkota bekerja atau menetap di luar, PRK itu turut tercalit dengan isu pergeseran antara dua pemimpin daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dibimbangi dapat mempengaruhi undi pihak tidak bersetuju dengan isu tersebut.
"Dulu BN bertanding sendirian, namun selepas bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) tentu jangkaan adalah majoriti akan lebih besar, tetapi apa yang berlaku sebelum ini mungkin boleh menyebabkan ada yang tidak keluar mengundi, menjadikan ia cabaran kepada jentera.
"Selain itu, faktor ada peningkatan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya di enam negeri sebelum ini, dilihat boleh menjadi faktor yang dapat menyebabkan majoriti BN berkurangan," katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini pada Khamis.
Melihat kepada perjalanan kempen, Mazlan berkata, tinjauannya pada minggu pertama kempen mendapati jentera BN lebih mendominasi kempen dengan sokongan PH sebagai rakan dalam kerajaan Perpaduan. Mereka menyantuni pengundi secara berkelompok.
Menurut beliau, kekuatan jentera itu mungkin disebabkan penguasaan BN di Johor, sementara Parlimen Kluang disandang oleh Wong Shu Qi dari PH. Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol yang terletak bersebelahan Mahkota juga merupakan wakil dari DAP, iaitu Chew Chong Sin.
Sementara itu, jentera PN juga dilihat bergerak dalam kumpulan kecil untuk bertemu penduduk setempat, namun keberkesanannya dilihat 'tidak begitu kuat', walaupun kempen mereka mendapat sokongan daripada kehadiran pemimpin parti.
"Pemilihan calon juga mungkin menjadi faktor penentu kemenangan BN dalam pilihan raya kecil ini.
Mereka telah meletakkan calon baru yang muda dan memiliki personaliti menarik.
Calon ini sudah dikenali oleh penduduk setempat dari pelbagai lapisan masyarakat dan boleh berbahasa Mandarin, yang memudahkan beliau berkomunikasi dengan pengundi Cina.
"Ini agak berbeza dengan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, yang dilihat agak berusia dan kurang berkesan dari segi komunikasi.
Namun, sebagai seorang pemain bola sepak, mungkin beliau mempunyai pengaruh dalam kalangan golongan muda," katanya.
Sementara itu, Pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Che Hamdan Che Mohd Razali juga berpandangan faktor politik tempatan mampu memberi kemenangan kepada BN, UMNO pada PRK itu.
"Kepimpinan negeri Johor setakat ini, di bawah Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dari UMNO, telah berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.
Namun, isu perselisihan di peringkat nasional mungkin memberi kesan terhadap sokongan daripada kalangan bukan Melayu," katanya.
Che Hamdan yang berpandangan setiap PRK mempunyai keunikan sendiri dan menjadi medan ujian kepada setiap gabungan politik sama ada dalam Kerajaan Perpaduan atau PN, menambah komposisi pengundi di DUN Mahkota menjadikan keperluan mendapatkan sokongan setiap pengundi tegar dalam gabungan mereka.
"Ini untuk membuktikan kemenangan yang selesa berdasarkan jumlah undi yang diperoleh oleh BN dan PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, memandangkan kedua-dua pihak menurunkan calon pada waktu itu jika dicampurkan," katanya.
PRN Johor pada 2022, DUN Mahkota menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain menang apabila memperoleh 16,611 undi manakala calon PH, Taqiuddin Cheman mendapat 11,445 undi, Mohamad Nor Lingan (PN - 7,614 undi) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan- 555 undi).
Ditanya jika kemenangan di DUN Mahkota boleh menjadi suntikan semangat kepada BN untuk menghadapi PRN Sabah tidak lama lagi, Che Hamdan berkata, lanskap politik antara Johor dan Sabah adalah berbeza dari segi persaingan dan gabungan parti politik.
Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, PRK DUN Mahkota lebih menarik kerana dapat menjadi penentu sama ada sebagai kesinambungan momentum kemenangan BN atau pemulihan sokongan kepada PN selepas PRK DUN Nenggiri, Kelantan bulan lepas.
Beliau juga berpandangan BN mendahului di DUN Mahkota berkata, keputusan PRK itu juga dapat menjadi gambaran penerimaan kepada kepimpinan Onn Hafiz yang pertama kali menggalas tanggungjawab mengetuai pentadbiran negeri.
"Walaupun PN turut sebagai underdog, namun ia tidak boleh dipandang ringan dan keputusan di Mahkota boleh menjadi penanda aras jika mereka dapat meningkatkan sokongan undi Melayu kepada parti itu.
"Undi kepada BN pula dapat menterjemahkan sokongan atau kerjasama (antara BN dan PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi, undi protes dan pengundi tegar antara faktor yang dapat menentukan majoriti kerana majoriti sebelum ini merupakan angka yang agak banyak," katanya.
PRK DUN Mahkota yang menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien, 40, dan Mohamad Haizan, 61, diadakan susulan kematian Sharifah Azizah, 63, pada 2 Ogos lepas.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat 66,318 pengundi berdaftar layak memilih pada PRK itu, dengan majoritinya iaitu 54 peratus adalah Melayu diikuti pengundi Cina 34 peratus dan lapan peratus pengundi India.
DUN Mahkota mula dipertandingan pada 2004 dan telah melalui lima pilihan raya dengan empat daripadanya dimenangi BN. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!