[KOLUMNIS] Perang poster PRK Mahkota hambar, boleh ‘gigit’ pengundi

Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di kawasan perumahan Taman Idaman, sebelah jalan utama menghala ke bandar Kluang. Poster dan bendera hanya kelihatan di kawasan perumahan. Foto G Manimaran
Bendera Barisan Nasional dan Perikatan Nasional di kawasan perumahan Taman Idaman, sebelah jalan utama menghala ke bandar Kluang. Poster dan bendera hanya kelihatan di kawasan perumahan. Foto G Manimaran
A
A
A

STESEN kereta api Kluang, antara mercu tanda bandar ternama di tengah Johor, kekal sibuk seperti sedia kala disebabkan dua faktor utama.

Pertama kerana perkhidmatan kereta api yang terus kekal menjadi pilihan ramai yang mahu ke bahagian selatan atau pun ke utara, termasuk ke Kuala Lumpur.

Satu ketika dahulu stesen ini turut menjadi pilihan saya terutama zaman persekolahan, dan untuk ‘shopping’ di Kluang. Antara Paloh dan Kluang. Paloh turut terletak dalam pentadbiran daerah Kluang.

Stesen ini kekal di hati pengguna, lebih-lebih lagi kini dengan kemudahan yang telah dinaik taraf - landasan elektrik berkembar.

Kedua, Kluang Station yang menjadi pilihan penduduk tempatan dan mereka yang berkunjung ke Kluang, sebagai hub menjami selera - kopi atau teh tarik bersama roti bakar.

Kluang Station ini terkenal dengan minuman berasaskan kopi, yang dilaporkan telah diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai kopitiam tertua di Malaysia.

Kluang Station yang turut dikenali sebagai Kluang Rail Coffee, berusia hampir satu abad, digambarkan sebagai ‘lokasi wajib singgah’ di bandar Kluang. Tidak sah jika tidak singgah.

Kluang bertambah sibuk dengan kehadiran banyak kenderaan luar bersama pemimpin, penyokong dan pekerja parti dari seluruh negara, yang datang untuk berkempen meraih undi.

Artikel Berkaitan:

Kawasan pusat bandar Kluang, sebahagian daripada sempadan kerusi DUN Mahkota kelihatan hambar tanpa 'perang poster dan bendera' calon dan parti. Foto G Manimaran
Kawasan pusat bandar Kluang, sebahagian daripada sempadan kerusi DUN Mahkota kelihatan hambar tanpa 'perang poster dan bendera' calon dan parti. Foto G Manimaran

Sejak dua minggu lalu ia menjadi tumpuan berikutan pilihan raya kecil (PRK). PRK yang ketiga bagi rakyat Johor.

Hari pengundian ditetapkan esok. Pengundian awal telah berlangsung Selasa lepas dengan rekod keluar mengundi 95.45 peratus, melibatkan 4,437 pengundi.

Satu jumlah keluar mengundi yang agar tinggi dalam senarai PRK sepanjang lebih satu tahun lalu.

Meskipun peratusan undi awal itu tinggi di samping kedatangan pelanggan ke Kluang Station untuk menjamu kopi yang dikatakan paling sedap di Malaysia bersama roti bakarnya, Kluang agar sunyi sepi daripada segi perang poster pilihan raya.

Kemeriahan perang poster dan bendera yang disaksikan semasa kesemua PRK lalu dan pilihan raya umum sudah hilang dari radar.

Perang poster tidak menjadi. Suasana itu tidak lagi menceriakan bandar Kluang. Bermula dari kawasan pekarangan Kluang Station sehinggalah jalan utama yang menghubungkan Kluang-Ayer Hitam dan yang menghala ke Mersing dan Paloh dan sebagainya.

Keadaan sama sebagaimana disaksikan semasa pilihan raya negeri (PRN) pada Mac 2022. Semasa PRN, 30 bulan yang lalu, pemasangan poster secara besar-besaran hanya disaksikan di kawasan-kawasan perumahan, bukannya di sepanjang jalan utama dan di kawasan bandar. Ia menarik perhatian saya ketika itu.

Dan, saya ada ajukan persoalan berkaitan kepada beberapa pemimpin tempatan di Johor. Secara kebetulan ketika itu kepada ahli-ahli politik di Kluang.

Persoalan yang sama timbulkan semasa mengadakan tinjauan ke kerusi Mahkota baru-baru ini. Ia menjadi menarik ketika PRK Mahkota.

Bilangan bendera yang dipacakkan di tengah-tengah terlalu kecil. Boleh dikira dengan jari.

Satu keunikan yang hanya dapat dilihat dan sedang dialami penduduk Johor, dan parti-parti politik negeri itu. Seolah-olah sudah menjadi satu kebiasaan sejak dua tahun lalu.

Difahamkan itu antara syarat dikenakan pihak berkuasa tempatan semasa musim pilihan raya. Poster, papan iklan dan kain rentang tidak boleh dinaik, dipamer dan dipasang sesuka hati, atau sembarangan di mana-mana saja.

Tiang lampu milik Tenaga Nasional Berhad dan telekomunikasi kelihatan bebas daripada tangan dan jari pekerja-pekerja pilihan raya dan penguasaan parti-parti politik yang bertanding.

Beberapa pemimpin politik yang ditemui mengakui kelainan ini. Pada masa yang sama mereka menyifatkan pihak berkuasa tempatan agar rigid dan tegas dalam kawal selia mereka.

Di bawah undang-undang pilihan raya, pihak berkuasa tempatan akan menggariskan syarat di bawah permit pemasangan poster dan bendera yang dikeluarkan.

Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) PRK Mahkota, Datuk Md Jais Sarday bimbang keadaan itu akan menjejaskan peratusan keluar mengundi.

“Sudah tidak meriah, tidak seperti dulu. Masa pilihan raya perlu ada poster dan bendera, baru orang nampak ada pilihan raya. Jika tidak orang akan anggap tidak ada pilihan raya... saya berharap SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan pihak berkuasa tempatan akan mengkaji balik amalan ini,” tambah beliau.

Nampaknya, sudah ada disiplin dalam hal ini. Norma baharu berkempen di Johor. Persekitaran semasa PRK Mahkota menguatkan syarat dan kawal selia yang dikuatkuasakan.

Di kawasan Kluang Station, yang menjadi titik pertemuan utama anggota masyarakat tidak kira status, hanya disajikan dengan satu papan iklan atau ‘billboard’ sederhana besar yang menggambarkan mesej kerjasama parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

BN yang menganggotai Kerajaan Perpaduan menurunkan calon dari UMNO sebagai wakilnya. Di sebelah kiri ada satu poster bersaiz normal yang membawa wajah calon Perikatan Nasional (PN). Itu sahaja!

Satu situasi yang jauh berbeza berbanding kemunculan poster yang pelbagai saiz dan mesej di serata bandar Kluang.

Keadaan sudah jauh berbeza, berlainan di Kluang dan Johor secara keseluruhannya.

PRK menyaksikan pertembungan antara calon BN dan PN.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dan wakil PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61, bersaing untuk menguasai Mahkota.

Semasa PRN 2022, BN menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Dalam PRN lalu, BN menang dengan majoriti lebih 5,000 undi. PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Mengikut daftar pemilih SPR, seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka kali ini, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 anggota polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir luar negara).

SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka pada hari pengundian.

Berbanding lapan PRK yang lalu (Ogos 2023-Ogos 2024), Mahkota yang menjadi tumpuan BN dan PN, tidak membawa pemasangan bendera calon dan parti secara besar-besaran.

Ia jauh berbeza berbanding yang kita lazim saksikan. Jalan utama di Kluang yang menghubungkan bandar-bandar besar yang lain ‘bebas’ daripada poster dan kain rentang pilihan raya.

Seolah-olah tiada pilihan raya. Satu situasi yang biasa disaksikan di beberapa negara demokrasi maju seperti Australia dan New Zealand, demikian kata rakan saya, Amerul Munir Mohammad, yang juga Pengasas Bersama Pusat Pendidikan Elektoral.

Lebih empat tahun lalu, Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) ada mengemukakan cadangan berkaitan penambahbaikan dalam soal pemasangan bendera dan poster pilihan raya.

Daripada sudut positif, Johor telah mendahului. PRK Mahkota menjadi saksi susulan selepas PRN Mac 2022.

PRK Pulai, Pelangai. Kemaman, Kuala Kubu Baru dan Sungai Bakap dan Nenggiri, kerusi DUN yang terletak di penghujung sempadan pilihan raya di Kelantan dan bersempadanan dengan Banjaran Titiwangsa juga ‘gah’ dengan perang poster semasa PRK bulan lepas.

Sebaliknya, tidak di DUN Mahkota, salah satu kerusi dalam bahagian Parlimen Kluang. DUN Mahkota terdiri daripada lebih 66,000 pengundi dengan majoriti daripada mereka tinggal di kawasan bandar dan sebahagian kecil di kawasan pinggir bandar.

Mereka mempunyai akses yang luas dan mudah untuk ke bandar Kluang. Penduduk daerah Kluang kini melebihi 350,000 orang dan kawasan bandar itu sendiri mempunyai 200,000 orang.

Kluang merupakan bandar ketiga terbesar dalam Johor, dan merupakan pusat perniagaan dan komersial utama. Kerusi Mahkota terdiri daripada hampir 80,000 orang penduduk.

Ini adalah hasil tinjauan di lapangan baru-baru ini ketika tempoh berkempen menghampiri penghujungnya.

Tinjauan di alam maya juga menunjukkan satu gambaran yang berbeza.

Tidak ada ceramah terbuka besar-besaran sebagaimana dalam PRK-PRK sebelum ini.

Siaran menerusi media sosial juga agak terhad kali ini. Paparan lebih berfokus kepada lawatan dan kunjungan serta kempen dari rumah ke rumah, pasar, tempat orang awam dan institusi agensi kerajaan.

PRK DUN Mahkota mengambil satu pendekatan yang berbeza. Pendekatan berprofil rendah. Ini cara Johor uruskan kempen pilihan raya?

Sejurus selepas penamaan calon, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melontarkan idea agar semua pihak mengekalkan kempen 'cara Johor' iaitu secara berhemah bagi mengelakkan provokasi.

Tambah beliau, jentera parti yang turun padang perlu menjaga adab dengan tidak menyentuh sebarang isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian bersama.

Setakat ini tiada isu besar berkaitan 3R berbanding di Kuala Kubu Baharu, Sungai Bakap dan Nenggiri.

Esok hari pengundian. BN dilihat ada peluang untuk kekalkan ‘mahkota’ Mahkota. PN pula bertekad untuk merampas dengan mengambil kira kerusi Mahkota, yang diwujudkan pada tahun 2004, pernah dimenangi oleh pembangkang, iaitu Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.

Walaupun Mahkota jauh daripada riuh rendah perang poster dan bendera parti sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu, persaingan untuk meraih undi kekal hebat.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengakui, PN berdepan dengan cabaran besar dalam merampas Mahkota.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu, walaupun sebelum ini keputusan majoriti menang agak besar diperoleh bagi penyandang kerusi DUN Mahkota, namun pihaknya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi kerusi DUN tersebut.

Ramai pekerja pilihan raya parti mengunjungi Kluang Station, yang dapat dilihat secara tersirat dan tersurat, untuk menjamu roti bakar dengan penuh selera.

Pun begitu ketiadaan poster calon dalam skal terbuka boleh menggugat dan menjejaskan usaha menggalakkan lebih ramai keluar mengundi esok.

Lebih-lebih lagi ramai pengundi Mahkota merupakan pengundi luar yang bekerja di luar Kluang khususnya di Singapura.

Itu cabaran besar kepada kedua-dua parti yang bertanding, termasuk parti rakan yang membantu mereka dalam kempen.

Pada PRK DUN Nenggiri, Kelantan bulan lepas, peratusan keluar mengundi adalah lebih 70 peratus. SPR berharap peratusan juga tinggi di Mahkota.

Reaksi di lapangan menunjukkan peratusan keluar mengundi kali ini dijangkakan tidak setinggi Nenggiri, dan akan rendah, kemungkinan sepertimana disaksikan di Sungai Bakap.

* Dr G Manimaran merupakan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir, dan mantan Ahli Tetap Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro Awani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!