Usaha tingkat keupayaan pelabuhan utama jadi keutamaan kerajaan - PM
KLANG - Usaha meningkatkan keupayaan kapasiti serta prasarana di pelabuhan utama dalam negara kini menjadi keutamaan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan kesesakan yang mula dialami beberapa pelabuhan dalam negara pada masa ini.
Beliau sehubungan itu mahu kelulusan yang diperlukan bagi tujuan itu harus disegerakan.
"Tentunya peranan pelabuhan ini kritikal dalam memacu pertumbuhan. Kita berdepan rantau yang dinamik. Persaingannya hebat.
"Kalau kita lembap, kejayaan yang kecil itu sudah dianggap membanggakan, maka kita akan ketinggalan," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Pecah Tanah Westport 2 di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari serta Pengerusi Eksekutif Westport Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.
Perdana Menteri berkata, projek bertujuan memperluas dan menambah kapasiti pelabuhan khususnya di Pelabuhan Klang itu, sudah beberapa kali dibangkit dalam mesyuarat Kabinet, menunjukkan ia satu projek penting kepada negara.
Dalam pada itu, kewujudan Westports 2 turut diyakini akan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat sambil mengesahkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi serantau.
Terdahulu, Ruben Emir ketika berucap menyifatkan Westports 2 adalah lebih daripada sekadar pengembangan.
Jelasnya, projek tersebut penting untuk memenuhi permintaan perdagangan global yang semakin meningkat dan memastikan kami terus memainkan peranan utama dalam industri.
"Ia adalah bukti komitmen kami untuk kekal di barisan hadapan dalam industri maritim global. Kami memberi tumpuan kepada peningkatan saiz dan berbuat demikian secara mampan, dengan inisiatif yang mengutamakan pengawasan dan inovasi alam sekitar.
"Projek pembesaran itu akan menggabungkan amalan mampan dan teknologi terkini, memastikan kami kekal berdaya saing sambil meminimumkan kesan alam sekitar kami," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!