Bapa, tiga anak pengikut GISBH disambung reman
KOTA BHARU - Seorang bapa bersama tiga anak yang disyaki pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) disambung reman selama tiga hari.
Sambungan reman itu bertujuan membantu siasatan berhubung kes membakar dan menanam pelbagai jenis buku berkaitan Al-Arqam dan Abuya di Kampung Panji di sini pada Sabtu lalu.
Perintah sambung reman bermula Sabtu hingga Isnin itu dikeluarkan oleh Majistret, Rais Imran Hamid dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(2) Akta Cetak 1984.
Media sebelum ini melaporkan polis menemukan puluhan buku ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman pengikut kumpulan itu di Kampung Panji di sini pada Sabtu.
Susulan itu, seorang bapa bersama tiga anak lelaki yang disyaki ahli GISBH ditahan reman selama tiga hari bermula Rabu bagi membantu siasatan berkaitan kes itu.
Difahamkan, empat beranak itu berusia antara 15 hingga 48 tahun itu ditahan di satu lokasi di Johor Bahru pada Selasa sebelum dibawa pulang ke Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!