Belanjawan 2025: Mohd Na'im harap peruntukan untuk syiar Islam ditambah

Mohd Na’im (tiga dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada penerima pada Majlis Perasmian Santuni Komuniti Madani di Masjid Saidina Umar Al-khattab Mukim Telekong di Kuala Krai pada Jumaat.
Mohd Na’im (tiga dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada penerima pada Majlis Perasmian Santuni Komuniti Madani di Masjid Saidina Umar Al-khattab Mukim Telekong di Kuala Krai pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KRAI - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berharap kerajaan dapat menambah peruntukan untuk syiar Islam dalam Belanjawan 2025 nanti.

Mohd Na’im berkata, beliau sudah mengadakan libat urus dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengenai perkara tersebut.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang sangat prihatin dengan perkembangan Islam termasuk para hafiz dan hufaz al-Quran.

"Dari segi jumlah kita serahkan kepada kebijaksanaan beliau (Perdana Menteri) untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar pada Jumaat.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Perasmian Santuni Komuniti Madani di Masjid Saidina Umar Al-khattab Mukim Telekong di sini.

Sinar Harian pada Oktober 2023 melaporkan Belanjawan 2024 mencerminkan Kerajaan Perpaduan amat komited dan bersungguh-sungguh mahu memartabatkan pembangunan syiar Islam di Malaysia.

Mohd Na'im berkata, ia dapat dilihat daripada pengumuman peruntukan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam, sebanyak RM1.9 bilion telah diperuntukkan pada 2024 meningkat berbanding RM1.5 bilion pada 2023.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!