PSM, JPKK syor gaji minimum ditetapkan RM2,000
PUTRAJAYA - Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) pada Jumaat menghantar memorandum kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bagi menggesa kerajaan menetapkan kadar gaji minimum pada RM2,000.
Memorandum itu diserahkan Timbalan Pengerusi PSM, S Arulchelvan dan Ketua Biro Pekerja PSM, R Saratbabu Raman kepada wakil Steven di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di sini pada Jumaat.
Ketika ditemui Bernama, Saratbabu berharap, Kesuma dapat meneliti setiap data yang dikemukakan dalam memorandum berkenaan dan memutuskan satu kadar gaji minimum yang baharu buat pekerja di negara ini.
"Kami tidak mahu gaji hanya ditingkatkan kepada RM1,700 sahaja kerana kos sara hidup meningkat dan perlu ada peningkatan yang munasabah untuk kita hidup sejahtera terutama golongan B40 dan M40,” katanya.
Sebelum ini, Simteven dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum yang kali terakhir disemak pada Mei 2022 dengan kenaikan daripada RM1,200 kepada RM1,500. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!