Kerajaan Pahang pandang serius isu GISBH

Wan Rosdy (tengah) ketika menyerahkan surat hak milik tanah kepada penerima di Dewan Dayo' Zaharuddin Abu Kasim, Temerloh pada Jumaat.
Wan Rosdy (tengah) ketika menyerahkan surat hak milik tanah kepada penerima di Dewan Dayo' Zaharuddin Abu Kasim, Temerloh pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan Pahang memandang serius kewujudan gerakan kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sebaik mungkin dengan pihak berkuasa.

"Perkara ini dalam siasatan pihak polis dan kita sudah tentu mengambil berat mengenai isu tersebut.

"Ini kerana ia isu semasa dan menjadi topik hangat serta menjadi perbualan orang ramai," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik Tanah bagi Skim Tanah Rakyat (STR) Daerah Temerloh di Dewan Dato' Zaharuddin Abu Kassim, Kampung Ketam di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama penerima surat hak milik tanah di Dewan Dato' Zaharuddin Abu Kassim, Temerloh pada Jumaat.
Wan Rosdy (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama penerima surat hak milik tanah di Dewan Dato' Zaharuddin Abu Kassim, Temerloh pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga akan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa jika terdapat sebarang aktiviti berkaitan GISBH di negeri ini.

Pada 11 September lalu, polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang akhbar di Kuantan mendedahkan keseluruhan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September lalu, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, 572 mangsa diselamatkan serta tujuh suspek berjaya dituduh di mahkamah dengan 29 pertuduhan.

Di Temerloh pula, lima kanak-kanak yang ditemui dalam serbuan dua premis rumah kebajikan pada 21 September lalu dipercayai di bawah kelolaan GISBH kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!