PNB sokong NSRF pacu daya saing sektor korporat

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

PERMODALAN Nasional Berhad (PNB) menyokong pelaksanaan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Nasional (NSRF) yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memacu sektor korporat negara ke arah kecemerlangan berdasarkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

NSRF ditubuhkan sejajar Piawaian Pendedahan Kemampanan IFRS dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) khususnya IFRS S1 Keperluan Am Untuk Pendedahan Maklumat Kewangan Berkaitan Kemampanan dan IFRS S2 Pendedahan Berkaitan Iklim yang menetapkan garis dasar kukuh bagi pelaporan kemampanan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, rangka kerja itu dibuat bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti tentang langkah perniagaan mengurus risiko dan peluang, daya tahan serta menyumbang kepada agenda kemampanan negara yang lebih luas.

“PNB mengiktiraf kepentingan rangka kerja ini yang bertujuan memupuk ketelusan dan akauntabiliti dalam pelaporan kemampanan.

“Kami percaya NSRF akan memainkan peranan penting dalam memacu daya saing sektor korporat Malaysia di peringkat global pada masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

“Susulan pelancaran NSRF, PNB akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat pelaburan dan syarikat tersenarai yang berkepentingan bagi memastikan mereka memenuhi keperluan pendedahan ditetapkan di bawah NSRF tepat,“ katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi dilaporkan berkata, syarikat di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia serta firma besar tidak tersenarai yang menjana pendapatan tahunan RM2 bilion atau lebih perlu mematuhi standard pelaporan baharu di bawah NSRF.

Katanya, 130 syarikat atau penerbit besar yang dijangka tersenarai dalam Pasaran Utama Bursa Malaysia juga perlu mematuhi Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) S1 (Keperluan Am untuk Pendedahan Maklumat Kewangan berkaitan Kemampanan) dan S2 mulai 2025.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, ia kerana syarikat berkenaan mempunyai impak besar terhadap pasaran modal dan mewakili lebih 80 peratus daripada permodalan pasaran di Bursa Malaysia dengan pelaporan pertama dijadual pada 2026.

Ujarnya lagi, baki penerbit tersenarai di Pasaran Utama iaitu Kumpulan 2 akan mengaplikasikan piawaian terbabit bermula 2026, diikuti Kumpulan 3 merangkumi penerbit tersenarai di Pasaran ACE serta syarikat besar yang tidak tersenarai pada 2027.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!